Sylar Pictures, Images and Photos

Search

Tokku Paloh I

Pada abad ke-19,seorang ulama besar di kenali Tukku Paloh yang dilahirkan di Terengganu pernah membantu negeri berkenaan menghalang penjajahan British.

Nama sebenarnya,Sayid Abdul Rahman bin Muhamad al-Idrus yang juga dianggap ulama kerohanian yang banyak berkecimpung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu.

Dengan ketegasan dan kepintaranya dalam hal ehwal diplomatik,Tukku Paloh sering diberi peluang mewakili sultan dalam perundingan dengan British hingga kerajaan Inggeris gagal menawan Terengganu. Dalam suatu kisah,beliau dilaporkan berkata ‘Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami,saya tolak walau atas alasan apa sekali pun tetapi kalau hendak tanah, silakan. Isilah kedalam kapal tuan sebanyak mana pihak British mahu…..ambillah tanah.’ Itu adalah antara jawapan Tukku Paloh kepada wakil British ketika perundingan antara British dengan kerajaan Terengganu yang diwakilinya. Jawapan berbentuk sindiran itu diluahkan dengan tenang tetapi nyata menyakitkan hati wakil British berkenaan. Mereka lantas bangun untuk beredar tetapi dengan kuasa Allah punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi.

Apabila mereka mengangkat punggung,kerusi mereka turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai. Ketika itu Tukku Paloh bersuara secara bersahaja ‘Sudahlah tuan-tuan hendak ambil tanah Terengganu , kerusi rumah saya pun tuan-tuan hendak ambil.’ Tukku Paloh yang hidup dalam zaman pemerintahan lapan sultan silih berganti dan pengaruhnya yang paling kuat ialah ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, iaitu Sultan Terengganu ke 11. Dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu, beliau adalah nasab ke 32 daripada Rasulullah S.A.W di kalangan keluarga al-Idrus.

Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein ra, anak Sayidatina Fatimah az-Zahrah ra binti Rasulullah. Tukku Paloh yang diterima sebagai penasihat pertama dan utama sultan dalam pelbagai hal itu mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri dan beberapa ulama tempatan sebelum mengikut jejak langkah ayahnya mendalami ilmu dan meluaskan pengetahuan di Makkah.

ULAMA besar itu bukan saja arif dalam ilmu tasawuf dan tereqat, malah beliau pernah menghasilkan kitab dan risalah mengenai soal kerohaniaan. Sekembalinya dari Makkah , Tukku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga,Terengganu. Langkah awal itu diikuti kegiatan lebih mencabar dalam bidang pentadbiran , pemerintahan dan penentangan penjajahan British. Selain memainkan peranan penting untuk menentang British , beliau diamanahkan Sultan Zainal Abidin mentadbir kawasan Paloh disamping mengawasi daerah Hulu Terengganu, termasuk Kuala Berang hingga Cabang Tiga.

Dalam usaha memastikan Paloh terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang,Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al-Idrus, menubuhkan pasukan penguatkuasa yang dikenali dengan nama Budak Raja. Pasukan Budak Raja itu bertanggungjawab menjaga keamanan seperti tugas yang dipikul oleh pasukan polis hari ini.

Untuk memastikan keselamatan kebajikan masyarakat setempat,cacatan sejarah menyatakan Tukku gemar keluar pada malam hari,malah pada hari tertentu beliau keluar dengan berselubung Kain di kepala. Tindakannya itu untuk memudahkan beliau meninjau kehidupan masyarakat dan sekiranya ada perkara tidak baik berlaku, Tukku Paloh memerintah Budak Raja untuk membuat tangkapan pada keesokan hari. Sikap dan keprihatinanya itu memperlihatkan tanggungjawab Tukku Paloh terhadap keselamatan nak buah seperti yang berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Khattab ra.

Selain gemar keluar pada waktu malam, beliau juga mempunyai mahkamah keadilan sendiri di Paloh yang diberikan mandat oleh sultan untuk menyelesaikan persoalan besar serta mengadili penjahat di kawasa pentadbirannya.

Dalam kehidupannya, Tukku Paloh lebih banyak berhubung secara peribadi dengan Sultan Zainal Abidin III berbanding perhubungan resmi. Hubungan erat itu terbukti apabila salah seorang isteri Tukku Paloh, Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin sendiri. Sultan berkenaan juga menyerahkan anaknya, Tengku Sulaiman, kepada Tukku Paloh untuk dijadikan anak angkat serta diberi didikan agama.

Tengku Sulaiman kemudian menjadi Sultan Terengganu ke 13 yang memerintah dari 1920 hingga 1942. Selepas jatuh sakit, pada 1917 ketika berusia 100 tahun, Tukku Paloh menghembuskan nafas terakhir diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III setahun kemudian.

Sumber:
Metro Ahad 28 Mei 2000 dan 4 Jun 2000
koleksi Terengganu PPAT.

0 Comments:

Post a Comment