Sylar Pictures, Images and Photos

Search

Hutang mestilah ditulis

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah SWT telah mengajarkannya.

Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah SWT Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki daripada kalangan kamu.

Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa daripada saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.

Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah SWT dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (Apa Yang dilarang itu), maka sesungguhnya sang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu.

Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah SWT (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah SWT sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Baqarah: 282)

AL-MARAGHI berkata: Sesudah Allah SWT menggalakkan sedekah dan mengeluarkan derma bagi kepentingan agama, kerana perbuatan ini dapat melahirkan rasa kasih sayang, Allah SWT menyatakan pula larangan mengamalkan riba. Urusan riba boleh mendatangkan sifat kejam.

Pada ayat ini, Allah SWT menyebut cara memelihara harta yang halal, iaitu dengan mencatat hutang dan melantik saksi di hadapan orang lain yang boleh dipercayai atau mengambil barangan jaminan jika dia tidak mudah percaya kepada catatan dan penyaksian. Hal ini disebabkan, orang yang diarahkan mengeluarkan infak dan sedekah serta dilarang melakukan riba pasti akan menemui suatu keupayaan untuk mengembangkan harta dan menjaganya jangan sampai hilang, agar dia mudah melakukan perintah dan anjuran Allah SWT untuk memperoleh kekayaan.

Al-Rabi’ meriwayatkan, bahawa ayat ini turun ketika seorang lelaki mengelilingi orang ramai meminta sesiapa antara mereka menjadi saksi, tetapi tiada seorang pun yang mahu menawarkan diri.

Ada pula yang berpendapat, bahawa yang dimaksudkan dengan mereka enggan untuk menjadi saksi dan menjalankannya pada saat dia diperlukan ialah bahawa menolak menjadi saksi itu haram kerana menjadi saksi itu fardu kifayah. Seseorang yang diminta menjadi saksi tidaklah wajib secara mutlak menerimanya, kecuali jika sudah tidak ada lagi orang lain yang boleh melakukannya.

Oleh kerana ayat ini adalah sepanjang ayat dalam al-Quran maka penulis ingin mengemukakan iktibar dan pengajarannya.

I. Sayyid Qutub berkata: “Inilah dasar umum yang hendak dijelaskan oleh al-Quran. Tugas mencatat atau menulis hutang piutang itu merupakan satu tugas yang diwajibkan dengan nas, bukannya ditinggalkan kepada pilihan sukarela sahaja dalam urusniaga hutang piutang yang bertempoh. Tugas ini diwajibkan kerana ia mempunyai sesuatu hikmah yang tersirat di sebaliknya.”

II. Sayyid Qutub berkata: “Yang menentukan taklif ini terhadap penulis ialah Allah SWT supaya dia tidak berlengah-lengah dan tidak enggan menulis dan supaya dia tidak mengirakan tugas itu sebagai suatu kerja yang berat kepada dirinya, kerana tugas ini telah difardukan Allah SWT dengan nas undang-undang dan balasan untuknya kerana menjalani tugas ini telah disanggupi Allah. Tugas ini juga merupakan pernyataan kesyukuran di atas limpah kurnia Allah SWT yang telah mengajarnya kepandaian menulis. Oleh itu hendaklah dia menulis sebagaimana ia diajar oleh Allah.

Menjaga urusan hutang

III. Al-Maraghi berkata: Allah SWT meminta orang yang beriman supaya menjaga urusan hutang mereka dengan hati-hati, sama ada yang yang berbentuk pinjaman atau kredit ataupun penjualan dengan pembayaran tertangguh, dengan cara mencatat sehingga kalau sudah tamat tempohnya, mereka mudah meminta dan menuntut kepada yang berkenaan agar segera membereskan hutang tersebut.

IV. Keperluan bertakwa kepada Allah SWT dalam menjalani perintahnya dan menjauhi larangannya.

V. Hukum berhutang adalah harus dan pembayaran hutang adalah wajib dan patut disegerakan.

VI. Dalam urusan jual beli tunai, saksi diperlukan kerana kadang-kadang selepas selesai urusan tersebut timbul perselisihan dan salah faham. Untuk menyelesaikan hal ini, kehadiran saksi sangat diperlukan.

VII. Kalau yang memberi hutang itu berfikiran lemah atau masih anak kecil, atau orang yang sangat tua, atau orang bodoh, atau gagap, maka wali berkewajipan menangani urusannya untuk berhadapan dengan penulis atau orang yang dilantik sebagai wakil atau orang yang menjadi jurubahasanya mencatatkan dengan adil, tanpa sebarang tambahan atau kekurangan.

VIII. Muhammad Quraish Syihab berkata: Dalam pandangan Mazhab Maliki, penyaksian wanita dibenarkan dalam hal-hal yang berkaitan dengan harta benda, tidak dalam jenayah, pernikahan, cerai dan rujuk.

Mazhab Hanafi lebih luas dan lebih sesuai dengan perkembangan masyarakat dan kudrat wanita. Wanita dibenarkan menjadi saksi dalam hal berkaitan dengan harta, persoalan rumah tangga seperti pernikahan, talak dan rujuk bahkan dalam segala sesuatu kecuali dalam soal jenayah.

Memang persoalan jenayah yang dapat menyebabkan hukuman mati dan sebat, di samping tidak kena dengan naluri seorang wanita dalam penyaksian pada hal tersebut juga tidak lumrah bagi mereka yang diharapkan lebih banyak memberi perhatian pada anak-anak dan rumah tangga.

0 Comments:

Post a Comment