Sylar Pictures, Images and Photos

Search

Terusan Wan Mohd. Saman

PEMBINAAN TERUSAN WAN MOHD. SAMAN DI KEDAH

Tarikh Siaran:08.12.2003
Tarikh Peristiwa:08.12.1885

Pada hari ini 08.12.1885, pembinaan Terusan Wan Mohd. Saman di Kedah telah dimulakan.
Pembinaan terusan itu telah diselenggarakan oleh Wan Mohd. saman bin Wan Ismail yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada tahun 1875. Inisiatif untuk membina terusan ini timbul setelah beliau dilantik menjadi Menteri Besar.

Ketika lawatannya ke negeri Siam itu, terusan-terusan yang merupakan jalan perhubungan dan pengangkutan di Kota Bangkok telah menarik perhatian beliau. Lawatan itu telah memberi ilham kepada Wan Mohd. Saman untuk membina sebatang terusan untuk membangunkan ekonomi negeri Kedah melalui projek-projek pertanian. Cadangan pembinaan terusan itu telah diperkenankan oleh Sultan Abdul Hamid yang memerintah ketika itu dan baginda memerintahkan agar sebatang terusan dibina dari Alor Star hingga ke kaki Gunung Jerai.

Pembinaan terusan tersebut telah dijalankan dalam tiga peringkat:-

Peringkat Pertama: Kerja-kerja menggali dibuat dari hujung Sungai Pengkalan Kundor atau Tandop, iaitu di sebuah Lubok bernama Lubok Ketong hingga ke bandar Kota Sarang Semut.

Peringkat Kedua: Kerja-kerja menggali dari bandar kota sarang Semut hingga ke Kaki Gunung Jerai di Gurun.

Peringkat Ketiga: Kerja-kerja menyambung terusan di Tandop dengan Sungai Kedah di Alor Setar.

Berbagai masalah telah dihadapi semasa kerja-kerja pembinaan terusan dijalankan seperti kekurangan tenaga buruh akibat kematian kerana penyakit demam kepialu. Walaubagaimanapun sepuluh tahun kemudian iaitu dalam tahun 1895 terusan Wan Mohd. Saman sepanjang 35.2 km lebar 7.3 dan 1.5 m dalamnya telah disiapkan.

Dengan pembinaan terusan Wan Mohd. Saman yang dimulakan pada hari ini dalam tahun 1885 maka berbagai perubahan dan kemajuan telah dapat dilaksanakan di negeri Kedah sehingga ianya terkenal sebagai negeri Jelapang Padi.

Skrip: Diolah semula oleh ROSELINE MAPONG SABAI
Sumber: Skrip HIDS

0 Comments:

Post a Comment