Sylar Pictures, Images and Photos

Search

Sekatan Ekonomi Tuhan

Keluhan Pak Long membuatkan aku hampir tersedak. Cepat-cepatku letakkan cawan berisi kopi yang berbaki. Sebenarnya aku terasa seperti disindir oleh Pak Long. Maklumla, aku yang beria-ia menyuruhnya jual tanah sawah kampung kami kepada pemaju perumahan. Kalau dijual, jadilah kami jutawan segera.

“Pak Long rasa, kerajaan tentu tak jadi ambil tanah bendang tu. Apa faedahnya buat rumah batu banyak-banyak tapi nak makan nasi pun susah. Manusia ni, kalau tak ada rumah tak apa. Jangan tak ada makan. Mana boleh hidup,” kata Pak Long seakan dapat membaca fikiranku.

“ Ala ,kalau setakat ambil tanah bendang dikampung ni, tak terjejas pun pengeluaran beras Negara, Pak Long.” Hujahku pula.

“Kamu tu Lan,bukan nak fakir kesusahan rakyat. Kamu fakir duit yang kamu nak dapat kalau tanah bendang jadi depa ambik, kan ? Pentingkan diri betul,”balas Pak Long sambil menggeleng.

Terkulat-kulat aku seketika bila ditembak sebiji oleh Pak Long. Aku memandang wajah Pak Long yang bersih walaupun sudah banyak garis-garis kedut tanda dimamah usia.

“Nak makan pun susah, semua barang naik harga. Minyak, susu, tepung, ni beras pulak. Itu tandanya, seluruh dunia sedang terima bala Tuhan,” kata Pak Long lagi.

“Tak apalah. Nanti pakar-pakar ekonomi dunia tahulah nak fikirkan jalan keluarnya, Pak Long,” balasku.

Pak Long menjegilkan matanya. Sembang pagi di hujung minggu yang dingin itu tiba-tiba bertukar moodnya.

“Kamu ingat, semua masalah dalam dunia ni boleh selesai dengan petua-petua dari depa tu? Kenapa selama ini tak ada pun orang boleh tahan, jangan bagi harga minyak tu naik?”

Betul juga ya. Kenapa tak ada orang yang boleh haling kenaikan harga barang ni. Ramai orang dah mengeluh. Orang meniaga kedai makan dan penjual kuih, ramai yang tak mahu berniaga lagi, sebab tak balik modal. Kata-kata Pak Long ada benarnya.

“Lan, ini Tuhan punya kerja. Tak ada sesiapa pun boleh tahan.”

“Kerja Tuhan?” aku terkejut dengan kata-kata Pak Long.

“Kamu tak yakin ya, ini semua kehendak Tuhan? Otak kamu tu memang dah berkarat dengan ilmu-ilmu yang membuatkan kamu tak ingat Tuhan. Masuk universiti, bukan makin kenal Tuhan tapi makin jauh dari Tuhan.”

Aku Cuma tersengih. Hati kecilku mengakui kata-katanya. Itulah sebab aku suka menziarahi Pak Long bila pulang bercuti. Setiap kali bertemu dengannya, aku dapat ilmu, hati rasa terdidik.

“Inilah bala Tuhan. Dulu-dulu, masa Pak Long kecil, mana ada masalah macam ni. Duit dapat sebulan RM40 saja tapi makan mewah. Ikan boleh tangkap di sungai. Beras banyak. sayur, kutiplah pucuk paku, sayur keladi, cendawan. Tak susah hati pasal makan. Hari ini, orang gaji besar pun tak cukup makan,” kata Pak Long lagi.

Aku perhatikan betapa pekanya Pak Long membaca suasana hari ini. Tidak seperti orang kampung biasa, Pak Long memang cerdik walaupun tak masuk universiti. Kata emak, Pak Long ada guru mursyid. Sebab itu hatinya celik, hasil dari pimpinan gurunya serta kuat hubungan hatinya dengan Tuhan. Banyak perkara yang Tuhan fahamkan dia sebab dia sungguh-sungguh beramal dengan ilmu yang diperolehinya.

“Tuhan sedang buat ‘sekatan ekonomi’ ke atas seluruh dunia.”

Aku terbeliak bila Pak Long sebut perkatan ‘sekatan ekonomi’ itu. Ingatkan manusia saja yang buat sekatan ekonomi. Tuhan pun ada sekatan ekonomi?

“Bila rezeki tersekat-sekat, tanda manusia dah lalai sangat. Dah lupakan Tuhan, dan banyak buat dosa. Manusia sekarang ni bertuhankan duit. Mereka fikir, ada duit, semua boleh jadi. Semua masalah boleh selesai. Ni Tuhan nak tunjuklah, Dia Tuhan yang sebenar, bukan duit,” kata Pak Long penuh bersemangat.

“Mana ada orang bertuhankan duit, Pak Long. Semua orang sembah Allah saja,” kataku kurang yakin.

“Kalau dah ramai sanggup gadai maruah, membunuh, merompak, bergaduh, berperang sebab duit. Itu bukan bertuhankan duit namanya?” Tanya Pak Long.

Aku mengangguk.

“Habis, siapa nak selesaikan masalah ekonomi dunia ni, Pak Long?” tanyaku benar-benar ingin tahu.

“Dulu, masa Halimatus Sa’diah ambil Rasulullah sebagai anak susuannya, dia yang miskin tiba-tiba jadi kaya. Untanya jadi gemuk-gemuk. kambing-kambing dia keluarkan susu yang banyak. rezeki melimpah pada keluarganya sebab berkat kemuliaan Rasulullah itu. Tuhan beri padanya sebab Tuhan cinta pada Rasulullah.”

Aku hanya diam, cuba memahami apa yang dimaksudkan Pak Long.

“Masa pemerintahan Sayidina Umar Bin Abdul Aziz, negaranya makmur dengan rezeki yang banyak. semua orang berkasih sayang sampai serigala dan kambing pun boleh berkawan. Itu sebab berkat pemimpin yang dicintai Tuhan itu. Jadi, zaman sekarang pun, kalau nak selesai masalah ekonomi ke, masalah perpaduan ke, apa masalah pun, kena ada pemimpin yang Tuhan sayang jugalah. Pemimpin itu, boleh pimpin manusia untuk tunduk pada Tuhan. Baru turun rahmat. Melimpah-limpahlah rezeki,” kata Pak Long.

Pelik sungguh rasanya bila mendengar teori ekonomi dalam Islam.tak ada debit dan kredit. Cukuplah dengan datangnya orang yang Tuhan cintai, pasti Tuhan berikan rezeki yang banyak. mudah saja sifirnya. Ertinya, umat Islam perlu minta Tuhan segera datangkan orang yang dimaksudkan itu. Selesai masalah dunia.

“Mana nak cari pemimpin macam tu?”

“Rasulullah tak akan biarkan umatnya. Baginda mesti tolong kita. Lagi pun baginda sudah sebut dalam hadis-hadis akhir zaman. Nanti, bila pemimpin itu datang, semua dapat nikmat melimpah ruah.”

Cicir air liur aku dengan kenyataannya itu.

“Bila dia nak datang?”

“Tak lama lagi. Dah dekat dah. Tandanya, ekonomi jatuh! Bila Tuhan jatuhkan ekonomi satu-satu Negara, itu tandanya Dia hendak naikkan pemimpin KEBENARAN!”


----------------------------------------------------------------
cerpen nie aku copy dari satu forum...
bagus untuk bacaan umum...

0 Comments:

Post a Comment