Search
Tersebut di dalam riwayat yang masyhur bahawa bumi ini dikembangkan dari Makkah, maka dari itulah Makkah disebut sebagai Ummul Qura. Bukit yang mula-mula dijadikan di muka bumi ini ialah Jabal Abi Qubais sebagaimana yang dipetik daripada kitab “Tarikh al-Ka’batul Mua’zamah Lunas Perceritaan”.
“Kemudian Allah s.w.t menghantar angin supaya menggelembungkan air, tiba-tiba nyatalah seketul buih yang bertimbun seperti qubah dan kerasnya seperti batu, kemudian Allah s.w.t menghampar di bawahnya (dengan rupa hamparan) dan ditetapkan dan ditumbuhkan dengan bukit-bukit. Awal bukit ialah Bukit Abi Qubais di Makkah. Kemudian Allah s.w.t memerintahkan malaikatNya yang di bumi membina Kaabah di tempat buih, sebagaimana yang ada sekarang dan mereka tawaf sebagaimana kita tawaf yang berlaku di masa ini kerana memohon keredhaan Allah dan rahmatNya yang amat luas, maka inilah binaan (Kaabah) di atas muka bumi yang dijadikan tempat ibadat.”
Menurut satu riwayat, yang pertama bertawaf ialah para malaikat, iaitu 2000 tahun sebelum Allah s.w.t. mencipta Adam a.s. Tidak satu pun dari malaikat yang diutuskan ke bumi oleh Allah s.w.t. atas sesuatu perintah, melainkan dia mandi di bawah ‘arasy dan berihram. Dia bermula dari Baitullah Al-Haram, lalu tawaf padanya, kemudian solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim a.s. kemudian barulah meneruskan hajatnya dan apa yang diperintahkan kepadanya.
Diriwayatkan juga bahawa setiap Nabi Allah a.s. apabila didustakan oleh kaumnya, mereka keluar meninggalkan kaum masing-masing dan pergi ke Makkah. Tidak seorang pun dari Nabi yang keluar dari umatnya, melainkan lari ke Makkah, lalu menyembah Allah s.w.t di hadapan Kaabah sampailah meninggal dunia di sana.Di sekitar Kaabah terdapat 300 kubur para-para nabi di mana di antara Rukun Yamani dan Rukun Al-Hajarul Al-Aswad terdapat 70 kubur nabi-nabi.
Makkah terletak lebih kurang 80 kilometer dari pantai, dikelilingi oleh banjaran bukit-bukau dari semua sudutnya kecuali tiga laluan yang sempit. Sebelum kedatangan Nabi Ibrahim a.s yang membawa isterinya Siti Hajar serta anaknya Ismail a.s, Makkah hanyalah menjadi tempat laluan kafilah-kafilah pedagang. Tempat itu adalah lembah gersang tanpa air dan tumbuh-tumbuhan. Setelah munculnya perigi zam-zam lahirlah Kota Makkah apabila suku Jurhum yang berasal dari Yaman datang beramai-ramai untuk hidup bersama-sama Siti Hajar dan Nabi Ismail a.s. Mereka membuat perkampungan di Bukit Qu’aiqu’an yang dikenali sekarang ini sebagai Jabal Hindi. Nabi Ismail a.s kemudiannya berkahwin dengan gadis dari suku Jurhum ini dan keturunan kedua mereka dikenali kemudiannya dengan Bani Ismail atau Adnaniyyun.
Keturunan Bani Ismail ini terus berkembang biak semasa Makkah diperintah oleh Khuza’ah. Secara beransur-ansur mereka berpindah meninggalkan Makkah, bertebaran ke seluruh pelusuk Semenanjung Arab. Yang tetap tinggal di Kota Makkah dari keturunan Bani Ismail ialah suku Quraisy, iaitu suku kaum Nabi Muhammad s.a.w. Di antara penduduk awal Kota Makkah juga ialah kaum atau puak ‘Amaliqah, yang juga berasal dari Yaman. Mereka membuat kampung di Jiyad dan memerintah sebelah bawah Makkah (al-Misfalah).
Setelah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s membangunkan Kaabah, Kota Makkah terus berkembang pesat dan sangat dipandang mulia oleh masyarakat Arab. Di samping menjadi kota ibadah, Makkah ketika itu turut menjadi kota perdagangan dan kota kesenian di mana pertandingan membaca syair dan puisi sering diadakan. Ia juga berperanan sebagai pusat media di mana berita dan maklumat disebarkan. Masyarakat Arab ketika itu juga menjadikan Kota Makkah sebagai tempat mereka mengadakan perjumpaan, persidangan dan mengikat perjanjian.
Begitulah kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t. Dari lembah yang gersang tanpa penghuni bertukar menjadi kota yang menjadi tumpuan dan kerinduan setiap hati umat Islam sedunia.
0 Comments:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)