
Search
Sebermula, maka adalah sebuah negeri bernama Cempaka Seri, rajanya bernama Indera Sari. Maka baginda itu cukup lengkap seperti adap istiadat kerajaan yang lain-lain juga, akan tetapi ada pun tabiat baginda itu terlalulah suka menyombong dan berjudi, sehingga menjadi suatu amalan pada baginda itu. Dengan hal yang demikian, habislah sekalian rakyat seisi negeri itu menjadi asyik leka dengan berjudi juga pada setiap masa tiada sekali-kali mengambil bena kepada mendirikan syariat Nabi Sallallahu alaihi wasalam kerana raja-raja dan orang besar-besarnya terlalu amat suka mengerjakan pekerjaan maksiat itu.
Maka adalah pula seorang tua sedang pertengahan umur namanya Pak Kadok, tinggal ditepi sungai ujung negeri itu juga. Ada pun akan Pak Kadok ini terlalu dungu serta dengan tololnya. Maka adalah kepada suatu hari Pak Kadok berkata kepada isterinya, aku ini mak Siti ingin pula rasanya hendak pergi menyambung kegelanggang baginda itu kerana terlalulah suka pula aku melihatkan orang menyambung beramai-ramai di situ.
Mari kita sambung ayam biring Si Kunani kita itu, kerana ayam itu pada petuanya terlalu bertuah. Boleh kita taruhkan kampung kita kepada baginda. Kalau menang kita tentulah kita mendapat duit baginda itu.
Maka ujar isteri Pak Kadok, jikalau begitu baiklah, pergilah awak menyambung, bawa ayam kita itu.
Maka sahut Pak Kadok, jahitkanlah baju dan seluar aku dahulu dari kertas yang baru kubeli ini. Lekaslah menjahitnya.
Maka kata isterinya, bagaimana awak hendak membuatkan baju dan seluar ini. Jikalau dipakai kelak tentulah carik bertelanjang tengah gelanggang sambungan itu. Bukankah awak malu besar?
Ujar Pak Kadok, tiada mengapa. Buatkan juga lekas-lekas aku hendak pergi.
Setelah itu isteri Pak Kadok pun segeralah mengambil gunting lalu mengguntingkan seluar dan baju itu dengan tiada berdaya lagi.
Maka kata Pak Kadok, usahlah di jahit, pelekat sahajalah supaya cepat.
Serta lepas digunting oleh isterinya itu dengan sesungguhnya dilekatlah olehnya. Apabila sudah, lalu diberikan kepada Pak Kadok, maka ia pun segeralah memakai pakaiannya sedondon iaitu berbunga tanjung, merah, kuning, hitam dan putih, terlalu hebat rupanya, tambahan pula berkena tengkolok helang menyongsong angin. Apatah lagi tampaknya
Pak Kadok seperti juara yang maha faham pada sambung menyambung. Setelah sudah bersedia sekaliannya, Pak Kadok pun lalu turun menangkap ayamnya biring Si Kunani itu, serta dengan tabung tajinya, lalu berjalan menuju kegelanggang baginda itu. Selang tiada berapa lamanya, ia pun sampailah ketengah medan menyambung itu.
Sehingga setelah dilihat oleh baginda akan Pak Kadok datang itu, maka dikenallah oleh baginda seraya bertitah, Hai Pak Kadok, apa khabar? Menyambungkah kita?
Maka sembah Pak Kadok pun segeralah menyembahkan ayamnya itu lalu disambutkan oleh baginda serta diamat-amati.
Diketahuilah oleh baginda tersangat bertuah ayam Pak Kadok itu. Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok biring Si Kunani sahaja tiada berapa tuahnya.
Setelah didengar oleh Pak Kadok akan titah baginda menggula dirinya itu, percayalah ia. Maka sembahnya Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, jikalau sudah dengan titah duli yang maha mulia, relalah patik, seperti titah itu sedia terjunjung di atas jemala ubun-ubun patik.
Pada akhirnya lalu bertukarlah keduanya akan ayam masing-masing. Maka sangatlah sukacita baginda beroleh ayam Pak Padok itu.
Maka baginda pun bertitah kepada juara-juaranya menyuruh bulang ayam itu. Maka Tok Juara tua pun lalulah membulang balung ayam biring Si Kunani yang bertukar dengan pak Kadok itu mengenakan taji bentok alang serta dengan berbagai-bagai isyarat dan petuanya. Maka Pak Kadok pun segeralah membulang ayamnya bertukar dengan baginda itu, iaitu tuntung tajinya dihalakan kehadapan dan putingnya kebelakang.
Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyambung ayam ini? Soronglah dahulu supaya beta lihat.
Maka sembah Pak Kadok, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patek ini tiada harta apa harta yang ada, hanya kampong sebuah itu sahaja. Jikalau ada ampun dan kurnia kebawah dulu Tuanku, kampong itulah patik gadaikan kebawah duli Tuanku menjadi tanggungan memohonkan berhutang kadar lima puluh rial.
Maka titah baginda, baiklah.
Lalu dikurniakan oleh baginda wang yang sebanyak permintaan Pak Kadok itu kepada dengan memegang gadaian kampung itu. Telah sudah, baginda pun menyorongkan taruhnya lima puluh rial juga, jumlahnya seratus rial. Maka serta sudah, baginda pun mengajak Pak Kadok melepaskan ayam masing-masing. Sembah Pak Kadok, silakanlah Tuanku.
Maka baginda pun lalulah menguja-uja ayam keduanya itu. Maka naiklah bengis keduanya, serta meremang bulu suak ditengkuknya, lalulah bersama-sama melepaskan ayam masing-masing. Maka ayam biring Si Kunani pun datanglah menggelepur ayam jalak. Dan Si Jalak pun segeralah membalas pula, tetapi kasihan,sungguh pun Si Jalak membalas, percuma saja kerana tajinya dibulang oleh Pak Kadok, juara tuntungnya kehadapan dan putingnya kebelakang. Jadinya bila Si Jalak membalas itu tertikamlah pada dadanya sendiri lalu tersungkur menggelupur ditengah gelanggang itu, kerana dua liang sudah lukanya sekali terkena tikam oleh taji Si Biring dan sekali ditikam oleh tajinya sendiri.
Setelah Pak Kadok melihatkan ayam jalak sudah mati dan Si Biring itu menang maka ia pun lupalah akan hal ia telah bertukar dengan baginda tadi. Wah apatah lagi ia pun tiadalah sedarkan dirinya seraya bertepuk tangan dan bersorak serta melompat-lompat lalu menyerukan tuah ayamya itu. Maka oleh tersangat bertepuk dan melompat itu, habislah pecah bercarik-carik seluar dan baju kertasnya itu, bercabiran berterbangan oleh angin berkeping-keping kesana kemari bercampang-camping. Maka Pak Kadok pun tinggallah berdiri ditengah khalayak yang banyak itu dengan bertelanjang bogel sahaja.
Hatta demi dilihat oleh baginda dengan sekalian orang besar-besar dan rakyat, tentera hina dina sekalian akan hal Pak Kadok ini, semuanya tertawa serta bertepuk tangan dengan tempek soraknya kesukaan melihat temasya Pak Kadok itu. Demikian juga baginda pun tertawa bersama-sama.
Maka ada pun akan Pak Kadok, demi ia melihat sekalian mereka itu habis tertawa, ia pun tercengang pula kerana pada sangkanya mereka itu menumpang kesukaan dirinya itu.
Kemudian apabila ia menoleh kepada tubuhnya, barulah diketahuinya akan dirinya bertelanjang bulat itu. Aduhai! Malunya yang amat sangat lalu ia berkerja lari dengan bersungguh-sungguh hati, lansung pulang ke rumahnya. Maka baginda pun berseru dengan nyaring suaranya. Inilah malang Pak Kadok, ayamnya menang, kampung tergadai.
Maka baginda dengan sekalian yang ada di dalam medan sabung itu pun kembalilah masing-masing kerumahnya.
Ada pun akan Pak Kadok lari itu tiadalah ia memandang lagi kekiri kekanan. Serta ia sampai kerumahnya seraya terpandang oleh Mak Siti, maka terpanjatlah orang tua itu seraya berkata, Apa kena awak, Pak Kadok seperti orang gila ini?
Maka oleh Pak Kadok di kabarkannya ialah daripada awal hingga keakhirnya. Serta didengar sahaja oleh isterinya akan hal suaminya itu, ia pun menagislah kerana mengenangkan untungnya yang malang itu dengan berbagai-bagai sungut leternya akan Pak Kadok oleh kebodohannya itu. Maka Pak Kadok pun diamlah terkosel-kosel, tiada berani menjawab akan isterinya lalu ia pergi membuat kerjanya sehari-hari itu juga.
Sekali peristiwa Pak Kadok dijemput oleh orang makan kenduri. Mula-mula datang orang yang dihilir sungai tempatnya tinggal itu mempersilakan Pak Kadok kerumahnya pada esok hari, waktu zohor iaitu makanannya seekor kerbau. Maka katanya Baiklah.
Setelah mereka itu sudah kembali, ada seketika datang pula orang dari hulu sungai itu menjemput Pak Kadok kerumahnya pada esok hari juga tatkala tengah hari muda, iaitu jamuannya memotong lembu dua ekor pula. Itu pun disanggupnya juga.
Telah hari malam, Pak Kadok pun tidurlah kedua laki isteri. Ada pun adapt pak Kadok telah lazim padanya setiap pagi memakan nasi dingin yang telah direndam oleh isterinya pada malam itu. Apabila sudah makan nasi yang tersebut itu, barulah ia pergi barang kemana-mana membuat kerjanya.
Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi pak Kadok pun bangunlah bersiap memakai, lalu turun memikul pengayuh berjalan menuju kepangkalan. Serta dilihat oleh isterinya ia pun menyeru akan suaminya katanya, Hai Pak Siti, tidakkah hendak makan nasi rendam ini lagi? Sementangkan nak makan lembu dan kerbau nasi ini ditinggalkan sahaja.
Maka sahut Pak Kadok, Tak usahlah, curahkan ketanah biar dimakan oleh ayam kita.
Maka oleh isterinya dengan sebenar nasi itu dibuangnya ketanah, dan Pak Kadok pun turun keperahu lalu berkayuh.
Ada pun pada masa itu air sungai sedang surut terlalu amat derasnya. Maka Pak Kadok berfikir di dalam hatinya, kemana baik aku pergi. Jika ke hilir tiada penat dan teruk aku berkayuh, hanya menurutkan ayir dihilir sahaja, tetapi kerbau seekor kemanakah padanya. Kalau begitu baiklah aku mudek juga.
Ia pun lalu berkayuh mudek menongkah air surut itu dengan terbengkil. Apabila penat dia berhenti sambil berfikir pula, dan perahunya hanyut balik kehilir setanjung dua tanjung jauhnya berkayuh pula. Demikianlah hal Pak Kadok, kayuh-kayuh berhenti dengan berfikir juga.
Beberapa lamanya air pun tenang surut. Hampir akan pasang baharulah Pak Kadok sampai kerumah jemputan itu, tetapi apalah gunanya. Sia-sia sahajalah penat jerehnya itu kerana matahari pun telah zuhur, jamuan itu pulang ke kampung masing-masing.
Maka apabila terlihat oleh tuan rumah akan Pak Kadok datang itu, ia pun berkata, Amboi kasihannya di hati saya oleh melihatkan penat sahaja Pak Kadok datang, suatu pun tidak ada lagi, yang ada semuanya telah habis. Malang sungguhlah Pak Kadok ini.
Telah didengar oleh Pak Kadok, maka ujarnya, sudahlah apa boleh buat. Sahajakan nasib saya.
Maka ia pun berkayuhlah hilir pula, hasratnya hendak mendapatkan rumah yang memotongkan kerbau itu pula, tetapi air sudah pasang deras. Maka Pak Kadok pun berkayuhlah bersungguh-sungguh hatinya menongkah air pasang itu, terbengkil-bengkil di tengah panas terik dengan lapar dahaganya. Tetapi kerana bebalnya itu tiadalah ia mahu singgah kerumahnya langsung sahaja ia kehilir, hendak segera menerpa kerbau yang lagi tinggal itu. Sehingga air pasang hampir akan surut, barulah Pak Kadok sampai kesana pada waktu asar rendah dan sekalian orang jemputan pun sedang hendak turun berkayuh pulang kerana sudah selesai jamuan itu. Maka apabila dilihat oleh Pak Kadok akan hal itu ia pun tiadalah hendak singgah lagi kerumah orang kenduri itu, lalu ia memaling haluan perahunya, langsung berkayuh mudek dengan rungutnya seperti baung dipukul bunyinya, kerana terlalu amat penatnya terpaja-paja ke hulu kehilir di tengah panas terik itu, perut pun sudah kebuluran dan mata Pak Kadok naik berbinar-binar, tambahan pula mudek itu pun menongkah juga. Maka pada waktu senja baharulah ia sampai kepangkalannya seraya menambat perahu dan naik ke rumah.
Shahadan, apabila dilihat oleh isterinya akan muka suaminya masam dan diam tiada berkata-kata, maka ia pun menyeru akan Pak Kadok, katanya apakah agak sebabnya orang pergi memakan lembu dan kerbau ini masam sahaja? Apa lagi yang kekurangan? Perut sudah kenyang makan daging.
Maka berbagai-bagai bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun naiklah metanya, serta mengambil kayu api dan berkata, kenyang memakan kepala bapa engkau. Lalu ia memalu kepala isterinya. Dengan takdir Allah, sungguh pun sekali pukul sahaja, isteri Pak Kadok pun rebah lalu mati. Setelah dilihat oleh Pak Kadok isterinya sudah mati, ia pun merebahkan dirinya disisi isterinya itu lalu menangis mengolek-golekkan dirinya seraya berkata, aduhai malang nasibku ini, sudahlah penat berkayuh kehulu kehilir, mana kebuluran, sampai kerumah isteriku pula mati oleh perbuatanku juga.
Maka berbagai-bagailah bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun menjemput segala pegawai akan menanamkan isterinya itu.
Setelah selesai daripada pekerjaan itu, maka Pak Kadok pun berniat hendak pindah dari rumahnya, bertandang duduk barang kemana-mana rumah yang lain, asalkan boleh ia meninggalkan kampung halamannya itu sudahlah, kerana fikirannya dari sebab ia tinggal di rumah dan kampungnya itulah, maka ia beroleh kemalangan yang begitu sialnya. Setelah tetaplah fikirannya yang demikian, maka Pak Kadok pun mengemaskan sekalian harta bendanya lalu diangkatnya turun keperahu. Serta bersedia ia pun melangkah dengan tauhid hatinya meninggalkan kampung halaman dengan rumah tangganya, akan berpindah ke kuala sungai itu menumpang duduk di rumah seorang handainya disana.
Arakian, Pak Kadok pun membabarkan layarnya seraya menujukan haluan perahunya ke kuala. Tetapi kasihan. Percumalah penat jereh Pak Kadok membentang layar dan mengemudikan perahunya itu, dari kerana sungguh pun pada masa ia menarik layar tadi angin paksa sedang kencang bagus, tetapi serta layarnya sudah sedia, angin pun mati seperti direnti-rentikan oleh yang hasad akan Pak Kadok lakunya. Maka perahu Pak Kadok pun hanyutlah terkatong-katong kehulu kehilir, ketengah dan ketepi menantikan angin. Beberapa lamanya dengan hal yang demikian, hari pun hampirlah akan petang, tubuh Pak Kadok terlalu amat letih dan lesunya. Lama kelamaan datang bebal hatinya serta merampas lalu ia menurunkan layer dan melabuh sauhnya seraya membentangkan kajang berbaring-baring melepaskan jerehnya.
Maka dengan kudrat Allah yang maha kaya menunjukkan kemalangan nasib Pak Kadok, angin paksa pun turunlah berpuput dengan ugahari kencangnya seolah-olah khianatkan Pak Kadok lakunya. Tetapi sia-sialah sahaja puputan bayu yang sedemikian itu moleknya hingga menjadi paksa yang maha baik dengan sebab kemalasan menjadi kemalangan bagi diri Pak Kadok, hingga ditaharkan perahunya ulang-aling di palu oleh ombak dengan gelombang ditengah sungai itu, seraya berkata Cheh! Angin bedebah ini sahajakan ia hendak menunjukkan makarnya kepada aku. Sedanglah sudah sehari suntuk aku hanyut, tak mahu turun, agaknya oleh tegar hatiku. Biarlah tak usah aku belayar, asalkan puas rasa hati ku. Jangan aku menurutkan kehendak engkau.
Kemudian ia pun tidurlah dengan terlalu amat lenanya kerana lelah dan kelaparan. Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi Pak Kadok pun bangunlah membongkar sauhnya seraya berkayuh perlahan-lahan seharian itu, hingga petang barulah ia sampai kerumah sahabatnya itu, seraya mengangkat sekalian barang-barangnya naik kesitu. Maka tinggallah Pak Kadok menumpang di rumah handainya itu selama-lamanya dengan tiada sekali-kali ingatannya hendak kembali kekampung halamannya dari sebab bodohnya.
Maka dari kerana kemalangan diri Pak Kadok itu sentiasa di perbuat orang akan bidalan oleh sekalian mereka pada zaman sekarang dengan seloka, demikianlah bunyinya:
Aduhai malang Pak Kadok!
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi di curahkan
Awak pulang kebuluran
Mudek menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri di bunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sudah di labuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.
Labels: Cerita
Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar -meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja. Anak
tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun. Bersendirian di rumah dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain diluar, tetapi pintu pagar tetap dikunci.
Bermainlah dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya,
ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya. Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya.
Ya...kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas.Apa lagi kanak-kanak
ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya
bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam.
Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar
ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya
mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah.
Pulang petang itu, terkejut badaklah pasangan itu melihat kereta yang baru
setahun dibeli dengan bayaran ansuran, berbatik-batik. Si bapa yang belum
pun masuk ke rumah terus menjerit, "Siapa punya kerja ni?" Pembantu rumah
yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar.
Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya.
Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan "Tak tahu... !" "Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?" herdik si isteri lagi. Si anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata "Ita buat ayahhh.. cantik kan!"
Katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu. Si ayah yang
hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya di depannya, terus
dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan. Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan.
Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa. Si bapa cukup rakus
memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya.
Selepas si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu, pembantu rumah menggendong
anak kecil itu, membawanya ke bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang
tangan si anak kecil calar balar.
Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia
menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik
calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak
kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama
pembantu rumah. Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak bengkak.
Pembantu rumah mengadu. "Sapukan minyak gamat tu!" balas tuannya, bapa si
anak. Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan
masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya. Tiga hari
berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga
begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah.
"Ita demam... " jawap pembantunya ringkas. "Bagi minum panadol tu," balas si ibu.
Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila
dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.
Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. "Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap" kata
majikannya itu. Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik.
Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius.
Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak
itu.
"Tiada pilihan.." katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan
kanak-kanak itu dipotong kerana gangren yang terjadi sudah terlalu teruk.
"Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah"
kata doktor.
Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu.
Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung
merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan. Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga melihat kedua-dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah.
Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata.
"Abah.. Mama... Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul. Ita tak mau
jahat. Ita sayang abah.. sayang mama." katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa. "Ita juga sayang Kak Narti.." katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.
"Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi," katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya.
Meraung dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya.
Berdasarkan pengamatan aku dalam 2, 3 minggu ini... sejak aku menghadkan aktiviti berforum, aku dapat meluangkan lebih masa untuk menikmati kembali keseronokan berblog. Dan dalam beberapa minggu ini aku dah jejak beratus-ratus blog berbahasa Melayu(aku agak je). Apa yang mengejutkan aku, ada dikalangan bloggers yang baru berusia 12 tahun (mengikut usia yang dinyatakan di blog). Heran juga aku pasal berdasarkan pada theme dan widgets yang terpasang, aku percaya seseorang yang biasa berblog pun menghadapi kesukaran untuk memasangnya. Jadi bagaimana dengan seorang adik berusia 12 tahun mampu memenuhi kriteria blog mereka.
Aku mengakui ilmu dan kemahiran aku dalam penghasilan blog agak terbatas. Kekadang terasa malu apabila melihat blog mereka yang jauh lebih muda mempunyai blog yang lebih menarik, kemas dan tersusun. Satu trend yang wujud sekarang ialah menukar skin blog tanpa edit langsung. 100 percent copy asal. kekadang aku pun pening melihat blog yang punyai skin yang sama. Setakat hari ni kalo tak silap aku dah terjumpa 2 blogs yang sama kulit dgn aku punya blog. tetapi berlainan warna dan susunan memandangkan aku dah ejas dulu. Kekadang terasa nak bersalin kulit lagi gak, tetapi kemalasan kekal mengatasi kerajinan.
Melihatkan pada blog dan community. Semacam rangkaian network. tetapi fungsinya cukup baik. Bloggers kadang2 terlalu ghairah memasang aksesori sampinganyang kurang penting dalam blog. Hasilnya masa yang agak lama diperlukan untuk membuka blog.
Sampai saat ini aku masih kurang arif dan masih belajar hal berkaitan blog nie. Ada beberapa elements lagi yang ingin aku masukkan dalam blog aku dan ade beberapa menda yang dah dan akan aku buang dari blog aku. Insyaallah ada masa aku akan share sedikit sebanyak yang aku tahu di sini.
Selamat Tahun Baru 2009
Sepasang suami dan isteri petani pulang kerumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam “hmmm…makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar??”
Ternyata yang dibeli oleh petani hari adalah perangkap tikus.
Sang tikus naik panik bukan kepalang.
Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, ” Ada perangkap tikus di rumah….di rumah sekarang ada perangkap tikus….”
Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, ” Ada perangkap tikus !”
Sang Ayam berkata, ” Tuan Tikus ! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku.”
Sang Tikus lalu pergi menemui seekor Kambing sambil berteriak seperti tadi.
Sang Kambing pun jawab selamba, “Aku pun turut bersimpati…tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku. “
Tikus lalu menemui Lembu. Ia mendapat jawaban sama. ” Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus. “
Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui Ular. Sang ular berkata “ Eleh engkau ni…Perangkap Tikus yang sekecil tak kan la nak membahayakan aku.”
Akhirnya Sang Tikus kembali kerumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri.
Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Ekor ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.
Walaupun si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami pun membawa isterinya ke hospital. Beberapa hari kemudian
isterinya sudah boleh pulang namun tetap sahaja demam.
Isterinya lalu minta dibuatkan sup cakar ayam oleh suaminya kerana percaya sup cakar ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapat cakar buat sup.
Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya.Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.
Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih lembu peliharaannya itu untuk diberi makan orang-orang yang ziarah.
Dari kejauhan…Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat Perangkap Tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.
Moral: Apabila sahabat dalam kesusahan, bantulah dia.
Suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian.
Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian. Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang; selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku. Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit.Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, "Hmm. Hari nak hujan."
"OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat" kata Professor itu. Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan.
"Kamu dah lama kerja mendayung sampan?" Tanya Professor itu.
"Hampir semur hidup saya." Jawab pendayung sampan itu dgn ringkas.
"Seumur hidup kamu?" Tanya Professor itu lagi. "Ya".
"Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?" Tanya Professor itu. Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya. Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi, "Kamu tahu geografi?"
Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.
"Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu."
Kata Professor itu lagi, "Kamu tahu biologi?"
Pendayung sampan itu menggelengkan kepala.
"Kasihan. Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. Kamu tahu fizik?" Professor itu
masih lagi bertanya.
Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala.
"Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu.Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu.Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pednayung sampan." Kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh. Pendayung sampan itu hanya berdiam diri.
Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik.Professor dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya,
"Kamu tahu berenang?"
Professor itu menggelengkan kepala.
"Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu." Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.
LEMBU: Hai anjing, apa habaq? Macam ada yg tak kena je?
ANJING: Aku tengah tension nih. Mau je aku gigit manusia tadi.
LEMBU : eh? kenapa?
ANJING: aku lalu tepi dua orang mansuia lelaki dan perempuan yg sedang berkepit. Tetiba si lelaki terperanjat dan terus melompat dan berkata "hoi anjing, pergi jauh-jauh, najis!".
LEMBU: Ya, lah. Ko kan haram. Najis tahap berat bagi manusia. Biasalah tu.
ANJING: Kalau aku najis sekali pon, kalau dia tersentuh aku, boleh disamak. Yang dia
sentuh dan raba-raba awek dia tu apa? Boleh ke nak samak dosa?
LEMBU: Betul tu. Memegang wanita yg bukan mahramnya tanpa ikatan yg sah, lebih
dahsyat kenajisannya daripada memegang ko anjing, malah tak boleh suci sekalipun di samak.
ANJING: Wah.. ayat ko memang power la... manusia kena ubah pepatah "Pandai macam LEMBU"
Keluhan Pak Long membuatkan aku hampir tersedak. Cepat-cepatku letakkan cawan berisi kopi yang berbaki. Sebenarnya aku terasa seperti disindir oleh Pak Long. Maklumla, aku yang beria-ia menyuruhnya jual tanah sawah kampung kami kepada pemaju perumahan. Kalau dijual, jadilah kami jutawan segera.
“Pak Long rasa, kerajaan tentu tak jadi ambil tanah bendang tu. Apa faedahnya buat rumah batu banyak-banyak tapi nak makan nasi pun susah. Manusia ni, kalau tak ada rumah tak apa. Jangan tak ada makan. Mana boleh hidup,” kata Pak Long seakan dapat membaca fikiranku.
“ Ala ,kalau setakat ambil tanah bendang dikampung ni, tak terjejas pun pengeluaran beras Negara, Pak Long.” Hujahku pula.
“Kamu tu Lan,bukan nak fakir kesusahan rakyat. Kamu fakir duit yang kamu nak dapat kalau tanah bendang jadi depa ambik, kan ? Pentingkan diri betul,”balas Pak Long sambil menggeleng.
Terkulat-kulat aku seketika bila ditembak sebiji oleh Pak Long. Aku memandang wajah Pak Long yang bersih walaupun sudah banyak garis-garis kedut tanda dimamah usia.
“Nak makan pun susah, semua barang naik harga. Minyak, susu, tepung, ni beras pulak. Itu tandanya, seluruh dunia sedang terima bala Tuhan,” kata Pak Long lagi.
“Tak apalah. Nanti pakar-pakar ekonomi dunia tahulah nak fikirkan jalan keluarnya, Pak Long,” balasku.
Pak Long menjegilkan matanya. Sembang pagi di hujung minggu yang dingin itu tiba-tiba bertukar moodnya.
“Kamu ingat, semua masalah dalam dunia ni boleh selesai dengan petua-petua dari depa tu? Kenapa selama ini tak ada pun orang boleh tahan, jangan bagi harga minyak tu naik?”
Betul juga ya. Kenapa tak ada orang yang boleh haling kenaikan harga barang ni. Ramai orang dah mengeluh. Orang meniaga kedai makan dan penjual kuih, ramai yang tak mahu berniaga lagi, sebab tak balik modal. Kata-kata Pak Long ada benarnya.
“Lan, ini Tuhan punya kerja. Tak ada sesiapa pun boleh tahan.”
“Kerja Tuhan?” aku terkejut dengan kata-kata Pak Long.
“Kamu tak yakin ya, ini semua kehendak Tuhan? Otak kamu tu memang dah berkarat dengan ilmu-ilmu yang membuatkan kamu tak ingat Tuhan. Masuk universiti, bukan makin kenal Tuhan tapi makin jauh dari Tuhan.”
Aku Cuma tersengih. Hati kecilku mengakui kata-katanya. Itulah sebab aku suka menziarahi Pak Long bila pulang bercuti. Setiap kali bertemu dengannya, aku dapat ilmu, hati rasa terdidik.
“Inilah bala Tuhan. Dulu-dulu, masa Pak Long kecil, mana ada masalah macam ni. Duit dapat sebulan RM40 saja tapi makan mewah. Ikan boleh tangkap di sungai. Beras banyak. sayur, kutiplah pucuk paku, sayur keladi, cendawan. Tak susah hati pasal makan. Hari ini, orang gaji besar pun tak cukup makan,” kata Pak Long lagi.
Aku perhatikan betapa pekanya Pak Long membaca suasana hari ini. Tidak seperti orang kampung biasa, Pak Long memang cerdik walaupun tak masuk universiti. Kata emak, Pak Long ada guru mursyid. Sebab itu hatinya celik, hasil dari pimpinan gurunya serta kuat hubungan hatinya dengan Tuhan. Banyak perkara yang Tuhan fahamkan dia sebab dia sungguh-sungguh beramal dengan ilmu yang diperolehinya.
“Tuhan sedang buat ‘sekatan ekonomi’ ke atas seluruh dunia.”
Aku terbeliak bila Pak Long sebut perkatan ‘sekatan ekonomi’ itu. Ingatkan manusia saja yang buat sekatan ekonomi. Tuhan pun ada sekatan ekonomi?
“Bila rezeki tersekat-sekat, tanda manusia dah lalai sangat. Dah lupakan Tuhan, dan banyak buat dosa. Manusia sekarang ni bertuhankan duit. Mereka fikir, ada duit, semua boleh jadi. Semua masalah boleh selesai. Ni Tuhan nak tunjuklah, Dia Tuhan yang sebenar, bukan duit,” kata Pak Long penuh bersemangat.
“Mana ada orang bertuhankan duit, Pak Long. Semua orang sembah Allah saja,” kataku kurang yakin.
“Kalau dah ramai sanggup gadai maruah, membunuh, merompak, bergaduh, berperang sebab duit. Itu bukan bertuhankan duit namanya?” Tanya Pak Long.
Aku mengangguk.
“Habis, siapa nak selesaikan masalah ekonomi dunia ni, Pak Long?” tanyaku benar-benar ingin tahu.
“Dulu, masa Halimatus Sa’diah ambil Rasulullah sebagai anak susuannya, dia yang miskin tiba-tiba jadi kaya. Untanya jadi gemuk-gemuk. kambing-kambing dia keluarkan susu yang banyak. rezeki melimpah pada keluarganya sebab berkat kemuliaan Rasulullah itu. Tuhan beri padanya sebab Tuhan cinta pada Rasulullah.”
Aku hanya diam, cuba memahami apa yang dimaksudkan Pak Long.
“Masa pemerintahan Sayidina Umar Bin Abdul Aziz, negaranya makmur dengan rezeki yang banyak. semua orang berkasih sayang sampai serigala dan kambing pun boleh berkawan. Itu sebab berkat pemimpin yang dicintai Tuhan itu. Jadi, zaman sekarang pun, kalau nak selesai masalah ekonomi ke, masalah perpaduan ke, apa masalah pun, kena ada pemimpin yang Tuhan sayang jugalah. Pemimpin itu, boleh pimpin manusia untuk tunduk pada Tuhan. Baru turun rahmat. Melimpah-limpahlah rezeki,” kata Pak Long.
Pelik sungguh rasanya bila mendengar teori ekonomi dalam Islam.tak ada debit dan kredit. Cukuplah dengan datangnya orang yang Tuhan cintai, pasti Tuhan berikan rezeki yang banyak. mudah saja sifirnya. Ertinya, umat Islam perlu minta Tuhan segera datangkan orang yang dimaksudkan itu. Selesai masalah dunia.
“Mana nak cari pemimpin macam tu?”
“Rasulullah tak akan biarkan umatnya. Baginda mesti tolong kita. Lagi pun baginda sudah sebut dalam hadis-hadis akhir zaman. Nanti, bila pemimpin itu datang, semua dapat nikmat melimpah ruah.”
Cicir air liur aku dengan kenyataannya itu.
“Bila dia nak datang?”
“Tak lama lagi. Dah dekat dah. Tandanya, ekonomi jatuh! Bila Tuhan jatuhkan ekonomi satu-satu Negara, itu tandanya Dia hendak naikkan pemimpin KEBENARAN!”
----------------------------------------------------------------
cerpen nie aku copy dari satu forum...
bagus untuk bacaan umum...
Labels: Cerita
Ini kisah pasal sepasang suami dan isteri orang asli yang tinggal di
dalam hutan. Rumah dorang ni dibina di atas pokok... 2 tingkat lagi
tu. Si suami kerja nya mencari makanan di hutan, sama ada dengan
pergi berburu ataupun memetik buah-buah hutan. Si isteri pula tinggal
mengemas dirumah.
Suatu hari, Si suami pergi mencari makanan dihutan. Sedang
mencari-cari. . tiba-tiba dia terjumpa cermin. Dia pon bawak balik
cermin tu dan disimpankan cermin tersebut di tingkat atas rumahnya
tanpa pengetahun isterinya.
Setiap hari sebelum pergi keluar mencari makanan, dia akan masuk ke
bilik dan melihat cerminnya. Sehinggalah satu hari, si isteri naik
pelik melihat telatah suaminya tu..
Maka disiasatlah bilik yang selalu dimasuki oleh suaminya..
bimbang-bimbang kalau suaminya menyimpan perempuan lain di bilik
tersebut tanpa pengetahuannya. .
Dan punyalah terkejut beruk.. dia masuk je bilik tu.. di ternampak
cermin suaminya. Oleh kerana si isteri ni taktau cermin tu apa.. so,
dia ingat orang dalam cermin tu memang perempuan simpanan suaminya.
Apa lagi.. habis berlari dan meraung menangisla dia cari mak nya..
Lepas berjumpa dengan maknya.. mak dia cakap nak lihat sendiri
perempuan yang kononnya disembunyikan oleh suaminya tu..
Lalu maknya pon masuk ke bilik tersebut.
Kemudian keluar dari bilik tersebut sambil ketawa terbahak-bahak. .
Isteri: Apsal mak ketawa?..
Mak: Apa teruk benor selere suami ko tu.. kalau ye pon nak kawin
lain.. carik la perempuan yang elok sikit.. Ini tak.. aku tengok
perempuan kat bilik tu.. dah la tua.. hodoh pulak tu..
Labels: Cerita
Ada sekelompok semut sedang sibuk di bawah cahaya matahari, ketika seorang manusia menjongkokkan badan melihat semut itu, bayangan dirinya menutupi cahaya mentari.
“Wah, apa ini?” kata semut.
Dengan panik semut-semut itu bertanya, “Apa gerangan yang telah menutupi cahaya mentari?”
Semut A berkata, “Sepertinya suatu makhluk yang sangat besar, jangan-jangan makhluk hidup taraf tinggi yang besarnya tak terhingga dibanding semut, dalam legenda yang bernama Manusia?”
Semut B berkata, “Memang, ada legenda kuno demikian.”
“Saya tidak percaya. Kalau dapat carikan saya satu “Manusia”, biar saya lihat dulu, saya baru percaya kalau sudah melihatnya.”
Para semut memiliki pendapat yang bermacam-macam. Ada yang percaya, ada juga yang tidak. Namun, legenda wujudnya “Manusia” tetap tersebar luas di dalam lubang semut.
Apa! ada “Manusia”? Ini propaganda tahyul! Turunkan tinta. Seluruh rakyat perkuat pelajari 3 teori saya yakni tekankan pada ilmu pengetahuan, produksi dan raja semut. Berdasarkan ilmiah, anti tahyul.
Kita harus menjadikan raja semut sebagai kekuatan inti, jalankan dengan baik pembangunan ekonomi semut. Di dalam lubang, raja semut melancarkan gerakan propaganda besar-besaran anti tahyul, dan penekanan pada ilmu pengetahuan. Namun, legenda tentang “Manusia” sudah meresapi dalam sanubari semut, tidak dapat diubah dengan propaganda.
Lantas, mana yang baik, manusia atau raja semut?
Begitu raja semut tahu, lantas menjadi kesal: “Saya percaya atheisme (tidak mengakui keberadaan Tuhan) tidak dapat memenangi theisme (percaya pada Tuhan). Semut sudah saya bina sejak kecil. Semua semut dalam lubang percaya bahawa semut yang ada di tengah manusia harus memilih diantara keyakinan dan kehidupan mereka, saat ujian akhir semut kecil harus menjawab melalui kertas ujian tertulis tentang siapa yang baik, apakah manusia atau raja semut?
“Sudah waktunya saya pulang…,” tiba-tiba manusia tadi berkata-kata.
Sampai disini, orang itu lalu pergi, dan tanpa disengajakan, si manusia menginjak mati raja semut. Sebenarnya adakah yang namanya manusia itu? Semut-semut yang terselubungi dan malang ini masih belum jelas apa sebenarnya yang telah terjadi, mereka masih merenung sebenarnya ada atau tidak suatu kehidupan yang namanya “Manusia”.



