Sylar Pictures, Images and Photos

Search

Daripada Berita Harian Online, 20 April 2008. Tajuk: Ulul Albab: Meratapi Andalus Demi Merapatkan Umat, oleh Abdurrahman Haqqi. Permusuhan, kesenangan serta kecintaan terhadap dunia faktor keruntuhan kerajaan Islam di Sepanyol.
MENANGISLAH anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.” Begitulah ucapan seorang bonda Raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah (H) yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.
Bani al-Ahmar adalah puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada daripada 620 H hingga 897 H, pada tahun di mana perjanjian di atas dimeterai. Perjanjian yang membabitkan 67 perkara itu termasuk jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol yang pada akhirnya tidak pernah direalisasikan bahkan selepas 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya selama 800 tahun. Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 H. Pada masa itu ribuan umat Islam yang dijanjikan boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Dalam kejadian itu, ribuan umat Islam mati bergelimpangan bermandi darah selepas tentera Kristian membunuh mereka. Sebelum itu, ketika mereka bersembunyi di dalam rumah, dengan lantang tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman bagi membolehkan mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang keperluan masing-masing. Tentera Kristian turut memaklumkan keselamatan orang Islam yang ingin meninggalkan Sepanyol terjamin. Ramai umat Islam yang meragui tawaran tentera Kristian itu. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal yang akan membawa mereka berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian mengambil keputusan menerima tawaran itu.
Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa seluruh barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu. Bagaimanapun, ada umat Islam yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Selepas ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera Kristian menggeledah rumah yang ditinggalkan mereka sebelum membakarnya. Ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung mereka dengan pedang terhunus.
Selepas menerima arahan pemimpin, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir terdengar tetapi dengan buas tentera Kristian terus membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenang di mana-mana. Laut yang biru berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Banyak cerita yang menyayat hati seperti ini dibukukan seperti al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus (Sekelumit Sejarah Andalus), malah seorang ulama terkenal seperti Ibn Hazam menceritakannya dalam kitab mashurnya al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.
Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara itu. Umat Islam juga diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan dan tidak ada belas kasihan. Orang Kristian di Sepanyol tidak mahu Islam wujud lagi. Oleh itu kita dapati umat Islam sangat tersepit sehingga ada yang mengaku Kristian padahal mereka seorang Muslim kerana terlalu perit dugaan yang dialami mereka.
Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur. Pasukan Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, malah terus meluaskan empayar di negeri sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.

Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.
Penguasa dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”

Bagaimanapun, selama Islam berada di Andalus berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tapi selalu tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya.Mereka secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan umat Islam Sepanyol. Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh.
Di samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.

Sebagai contoh, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah ketika rakyatnya memberontak dia membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu memadamkan pemberontakan itu. Sebagai habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.Lapan ratus tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman. Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu. Sepanyol sekarang adalah Sepanyol yang mempunyai seorang menteri pertahanan wanita, Carme Chacon yang boleh memeriksa barisan tentera negaranya walaupun dalam keadaan hamil seperti dilaporkan akhbar pada 14 April lalu.

Sebenarnya musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara. Dengan mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana. Dan ketika itu ucapan bonda Aisyah pada permulaan tulisan ini akan terdengar kembali. Wallahu a’lam.
INTI PATI:
Perubahan hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas daripada pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan Andalusia. Cahaya Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Islam tidak memisahkan agama dari negara dan menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Apabila ketiga-tiga ciri dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi.
FAKTA:
Islam memerintah Sepanyol dari 711 hingga 1492.
Banyak warisan ditinggalkan tamadun Islam di Sepanyol.
Tariq ibni Ziad mendarat di Gibralta pada 30 April 711 dan menamakan Sepanyol sebagai Al-Andalus.
Pemerintah Islam membina istana yang besar dinamakan Alhambra dan masjid besar dinamakan Qardoba.
Hasil Nukilan :
Dr. Danial Zainal Abidin

Apa tanda pengakap terpuji
Buka kulit tampak isi
Sesuai cakap dengan hati
Sesuai sumpah dengan janji
Sesuai kelakuan dengan pekerti
taat kepada tuhan, raja dan negara
menolong orang pada setiap masa
menurut undang-undang pengakap

Apa tanda pengakap pengakap terbilang
Berterus terang muka belakang
Bersangka baik berdada lapang
Bersangka buruk ia pantang
Lidahnya boleh dipegang
Amanahnya boleh disandang

Apa tanda pengakap bermaruah
Hidup matinya memegang amanah
Taat setia memegang sumpah
Menunaikan janji tahan dilapah
Petuah dijunjung amanah disandang
Adil dan benar dijadikan tiang
Janji ditunai sumpah disandang

*Petikan daripada kertas kerja " Budaya Dalam Kepengakapan" oleh Dato' Haji Kaharudin bin Momin

Sumber

Sepanjang hampir seratus tahun yang kebelakangan, bidang Falak Syari di alam Melayu Nusantara seringkali dikaitkan dengan nama Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari. Beliaulah tokoh terulung yang telah memantapkan bidang fardu kifayah tersebut di rantau ini menerusi pengajaran, penggunaan dan penyibaran ilmu tentangnya di kalangan 'alim ulamak yang bertanggungjawab membuat taqwim Islam tempatan.

Sheikh Muhammad Tahir dilahirkan pada (hari Selasa) 4 hb. Ramadan 1286 Hijri (bersamaan 9hb. Disember 1869) di Ampat Angkat, Bukit Tinggi (Minangkabau), Sumatra Barat. Bapanya seorang ulamak dikenali sebagai Sheikh Muhammad (juga Gergelar Tuanku Muhammad atau Tuanku Cangking); datuknya keturunan bangsawan Minangkabau bernama Tuanku Ahmad Jalaluddin.Beliau yatim ketika kecil lagi dan dibesarkan oleh keluarga pihak ibunya; dan apabila berumur hampir 12 tahun, telah dihantar ke Makkah untuk belajar dan mendalami ilmu-ilmu agama Islam.

Beliau berada di Makkah selama lebih 12 tahun. Di antara bidang-bidang yang telah beliau perolehi dan perdalami ialah ilmu-ilmu al Qur'an, Hadith, Tauhid, Fiqah, Usul Fiqh, Nahu, Saraf, Bayan, Ma'ani, Badi', 'Arudh, Mantiq, Tafsir, Hisab Handasah dan Falak. Beliau banyak dipengaruhi oleh ilmu, pendekatan dan kealiman peribadi gurunya, Sheikh Ahmad Khatib iaitu saudara berpangkat sepupu dengannya yang pada waktu itu terlantik sebagai Mufti Mazhab Shafi'i di Masjidil Haram.

Sheikh Tahir pulang ke Sumatra ketika berumur 24 tahun dan selepas 4 tahun di sana, sekali lagi berangkat ke Timur Tengah, kali ini ke Mesir.

Bidang Falak telah beliau perdalami lagi semasa belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir selama 4 tahun (1314-1318 H. bersamaan 1893-1897 M.). Semasa di situ beliau menerima juga pengaruh daripada pemikiran Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh, tokoh Gerakan Isiah (Pembersihan) dan Reformasi Islam yang berjuang untuk membersihkan Islam daripada fahaman yang bercampur-baur adat-resam kuno, dan mengembalikan Islam ke landasan al-Qur'an dan Hadith yang suci.

Lantaran kegiatan Sheikh Muhammad Tahir yang berkait dengan pemikiran Reformasi inilah, beliau dikenali juga sebagai ahli'Kaum Muda'atau golongan ulamak Reformis di kalangan masyarakat Melayu-Nusantara.Semasa di Mesir beliau mula berdampingan dengan tokoh-tokoh perjuangan Islam -seperti Sheikh Muhammad Rashid Ridha -- yang bergiat dalam penulisan rencana-rencana melalui akhbar yang berunsur Islam, seperti Al-Manar. Sheikh Muhammad Tahir pernah juga menyumbangkan rencana-rencana ilmiah dalam akhbar tersebut. Pendekatan seperti ini telah beliau terapkan sekembalinya ke Tanah Melayu, dengan membuat banyak sumbangan kepada majalah-majalah Al-lmam dan Al-lkhwan (di bawah kelolaan Sayid Sheikh Al-HadL dan Iain-Iain rakannya, dan surat khabar -Saudara.

Dalam zaman mudanya, Sheikh Tahir kerap berulang-alik ke Makkah dan Mesir, sama ada untuk membawa jemaah haji dari Sumatra ataupun untuk membuat perniagaan secara sampingan. Perkahwinan Sheikh Muhammad Tahir semasa zaman mudanya di Sumatra tidak kekal. Beliau bernikah dan bercerai sebanyak 5 kali semasa itu, di atas persetujuan pihak-pihak isteri berkenaan, kerana adat Minangkabau waktu itu sangat mendorong para wanita dan keluarga mereka untuk memperolehi zuriat daripada 'alim ulamak. Walau bagaimanapun, sistem Adat Perpatih yang kuat itulah juga di antara sebab-sebab Sheikh Tahir berpindah keluar dari daerah Minangkabau dan merantau ke Tanah Melayu mulai tahun 1317H/ 1899M.

Perkahwinan Sheikh Muhammad Tahir (pada 21 Jamadilawal 1317 H. bersamaan 28 September 1899 M., dengan isterinya yang keenam bernama Aishah binti Haji Mustafa, anak seorang saudagar dari Kuala Kangsar, Perak) kekal sehingga akhir hayatnya. Mereka dikurniakan dengan enam orang anak -- iaitu Rahmah, Muhammad, Ahmad, Azizah, Hamdan dan Hamid. Menerusi asuhan ibu yang berdidikasi, didikan Sheikh Tahir yang unik, kemudahan pendidikan bercorak baru dan bakat serta rezekinya sendiri, maka anak Sheikh Tahir yang kelima, (Tun) Hamdan terus meningkat dalam dunia pendidikan dan kerjayanya sehingga menjawat beberapa jawatan tinggi dan kini mendapat gelaran Tun serta menjadi Tuan Yang Terutama Yang dipertua Negeri Pulau Pinang.

Pusat Falaq Sheikh Tahir yang mengambil sempena nama beliau yang terletak di Pantai ACheh Pulau Pinang tempat cerapan hilal dan kajian falaq oleh USM

Sebagai ulamak dan pejuang agama, Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin telah menjelajah ke banyak tempat di alam Melayu-Nusantara termasuk Tanah Melayu, Sumatra, Singapura dan Kepulauan Riau. Semasa di Sumatra (1348 H./1927 M.) beliau pernah dipenjarakan oleh penjajah Belanda atas suatu tuduhan palsu, tetapi akhirnya telah dibebaskan selepas ditahan selama enam bulan. Beliau mempunyai semangat anti penjajah yang kuat, di samping mempunyai pendirian yang tegas dan keras dalam hal-hal keagamaan. Inilah di antara aspek peribadinya yang menyebabkan Sheikh Tahir tidak dapat menetap lama di sesuatu tempat, di samping adanya pergeseran dengan golongan ulamak 'Kaum Tua'.

Beliau menjadi Hakim Besar Mahkamah Syariah di Taiping, kemudiannya terlantik sebagai Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan selama 3 tahun, dalam zaman pemerintahan Sultan Idris. Walau bagaimanapun, fatwa-fatwa Sheikh Tahir tidak diterima oleh ulamak golongan 'Kaum Tua'. Beliau berkhidmat dengan negeri Johor Darul Takzim pada tahun 1335 H. (1914 M.), sebagai Pendidik dan Nazir sekolah-sekolah agama Johor selama 4 tahun; dan sekali lagi selama 3 tahun (1346-49 H./ 1925-28 M.). Dalam lingkungan masa yang sama, beliau sempat berkhidmat sebagai mudir (guru besar) Madrasah Haji Muhammad Taib, di Parit Jamil, Muar -- iaitu sebuah sekolah menengah agama yang memberi pengajaran-pembelajaran Islam yang menyeluruh sambil menekankan bahawa Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa lnggeris hendaklah dipelajari untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

Dalam dunia pendidikan Sheikh Tahir sentiasa mempunyai pemikiran dan pandangan yang jauh ke hadapan daripada pemikiran semasa dalam zamannya. "Beliau sentiasa mendahului zamannya!" menurut kata-kata anak Sheikh Tahir, iaitu Tun Dato'Seri (Dr.) Haji Hamdan Sheikh Tahir, Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang pada waktu ini. Sheikh Tahir pernah bermastautin di Singapura untuk memberi sumbangan penulisan dan penerbitan majalah Al-Imam. Beliau berkhidmat di Madrasah Al-Masyhoor Pulau Pinang sebagai Pendidik dan Pengetua selama 3 tahun (1341-44 H./ 1920-23 M.), kemudian pulang ke Kuala Kangsar.

Sheikh Tahir ke Makkah sekali lagi pada tahun 1349 H. (1928 M.), kemudiannya bersara di Kuala Kangsar, Perak mulai tahun 1350 (1929). Namun begitu, beliau terus aktif sehingga akhir hayatnya sebagai ulamak-penulis dan ahli Falak Syar'i yang menabur khidmat baktinya kepada ramai penuntut yang kemudiannya menjadi ulamak.

Sheikh Muhammad Tahir telah melahirkan karya-karya yang meliputi beberapa bidang. Yang paling penting dari sudut Falak Syar'i ialah kitab Natijatul'Umur (diterbitkan pada tahun 1357 H./ 1936 M.) iaitu kira-kira untuk Taqwim Hijrah dan persamaannya dengan Taqwim Miladi (Masehi), hala kiblat, dan waktu solat untuk sepanjang zaman; dan Kitab Jadual Pati Kiraan iaitu panduan untuk menentukan waktu solat dan arah kiblat berserta logarithms untuk mengiranya (diterbitkan pada tahun 1362 H./ 1941 M.).

Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari telah kembali ke rahmataullah pada pagi Jumaat 21 Rabiulawal 1377 (bersamaan 26 Oktober 1956) pada usia 87 tahun, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Baru, Kuala Kangsar, Perak. Jabatan Muzium Negara Malaysia telah mengistiharkan tempat pemakaman beliau sebagai makam bersejarah untuk memperingati jasa beliau. Kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan sebuah Pusat Observatori di Pantai Acheh Pulau Pinang sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir, bagi memperingati peranan dan ketokohan beliau dalam bidang Falak.

Rujukan :

• Cenderamata Majlis Memperingati Tokoh/ Ulama Islam Silam 1976/ 77 Sheikh Tahir Jalaluddin (1869-1956) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (21 Februari 1977).

• Hamdan Hassan. Sheikh Tahir Jalaluddin, Pelopor Pembaharuan Pemikiran Islam di Malaysia. Dalam Dewan Bahasa, 1973, 405-419.

• Mohd. Sarim Mustajab. Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Falaki: Pelopor Gerakan Isiah Islamiyah di Tanah Melayu. Dalam Malaysia in History. vol 20, no.2 (December 1977). 1-11.

• Raja Mohd. Affandi. Sheikh Taliir Al-Azhari, Pemimpin Reformis Islam. Dalam Dewan Masyarakat, Januari 1977, 35-37.

• Temubual dengan T.Y.T. Tun Dato'Seri (Dr.) Haji Hamdan bin Sheikh Tahir; pada 16 dan 20 September 1991 (bersamaan 8 dan 12 Rabiulawal 1412 H.) di "Seri Mutiara", Pulau Pinang.

Sumber:

Tok Kenali

Toko Ulama Kelantan paling masyhur , malah termasuk antara ulama besar Semenanjung Melayu. Sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah ) Haji Abdul Fahim (Mufti Pulau Pinang) , Haji Abu Bakar Alim (Muar) , Haji Mat Shafie Losong (Terengganu) dll.

Guru Pondok yang sangat dihormati bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi bualan dan disebut ramai. Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali , Kubang Kerian , Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd Yusoff Ahmad. Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1305H - 1327H).

Sangat alim dalam ilmu Tatabahasa Arab (nahu/soraf) malahan beliaulah yang merintis kemasukkan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajin pondok (sebelum itu, tertumpu pada usuluddin, fiqh dan tasawuf sahaja). Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis yang paling berwibawa - bukan sahaja di negeri Kelantan tetapi juga di luar negeri Kelantan.

Antara murid murid jempolannya termasuklah Hj, Mat Jebeng (kemanakkannya), Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj.Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Abdul Kadir Melor , Haji Abdul Tahir Bunut Payong, Hj. Yusof Padang Bemban, Haji Ismail Perol, Dato' Haji Ismail Yusoff, Hji Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Haji Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato' Haji Hassan Yunus al-Azhari (Menteri Besar Johor) , Dato' Haji Abdul Rahim Yunus Bongek Rembau , Syeikh Mohd Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Haji Osman Bukit Besar , Haji Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Haji Hassan Lampung, Haji Yaakub Legor dan Tok Lata (Pattani).

Di samping itu dua orang putera Tok Kenali sendiri - Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd Salleh Kenali (menetap di Makkah) - juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjaya besar.

Nyatalah rumusan…yang menyebut Kelantan sebagai "Serambi Mekah" itu sangat terkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali. Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian .

- Ismail Che Daud

Petroleum

Bersempena kenaikan petroleum dunia. Hari ini kita rungkai asal-usul kejadian dan perihal yang berkaitan dengan petroleum serba sedikit.

Petroleum

Petroleum (minyak batu, dari bahasa Greek petra – batu dan oleum – minyak) merupakan sejenis cecair gelap dan pekat yang juga dipanggil emas hitam. Ia biasanya merupakan sebatian pelbagai hidrokarbon, terutamanya siri alkana, dan biasanya didapati di bahagian atas kerak bumi. Kegunaan utama petroleum ialah sebagai sumber tenaga untuk menggerakkan kenderaan.

Selain sebagai bahan bakar dan pelincir, petroleum turut digunakan dalam pelbagai industri seperti pembuatan pelarut, baja serta racun perosak, sabun dan detergen, pewangi, plastik, bahan letupan dan lain-lain.


Komposisi

Komponen kimia dari minyak bumi dipisahkan oleh proses penyulingan, yang kemudian, setelah diolah lagi, menjadi minyak tanah, bensin, lilin, aspal, dll.

Minyak bumi terdiri dari hidrokarbon, paduan hidrogen dan karbon.

Empat alkana teringan— CH4 (metana), C2H6 (etana), C3H8 (propana), dan C4H10 (butana) — semuanya adalah gas yang mendidih pada -161.6°C, -88.6°C, -42°C, dan -0.5°C, berturut-turut (-258.9°, -127.5°, -43.6°, dan +31.1° F).

Rantai dalam wilayah C5-7 semuanya ringan, dan mudah mengewap, nafta jernih. Senyawaan tersebut digunakan sebagai pelarut, cairan pencuci kering (dry clean), dan produk cepat-kering lainnya. Rantai dari C6H14 sampai C12H26 dicampur bersama dan digunakan untuk bensin. Minyak tanah terbuat dari rantai di wilayah C10 sampai C15, diikuti oleh minyak diesel (C10 hingga C20) dan bahan bakar minyak yang digunakan dalam mesin kapal. Senyawaan dari minyak bumi ini semuanya dalam bentuk cair dalam suhu ruangan.

Minyak pelincir dan gemuk setengah-padat (termasuk Vaseline®) berada di antara C16 sampai ke C20.

Rantai di atas C20 berwujud padat, dimulai dari "lilin, kemudian tar, dan bitumen aspal.

Titik pendidihan dalam tekanan atmosfer fraksi distilasi dalam derajat Celcius:

minyak eter: 40 - 70 °C (digunakan sebagai pelarut)
minyak ringan: 60 - 100 °C (bahan bakar kenderaan)
minyak berat: 100 - 150 °C (bahan bakar kenderaan)
minyak tanah ringan: 120 - 150 °C (pelarut dan bahan bakar untuk rumah tangga)
kerosene: 150 - 300 °C (bahan bakar enjin jet)
minyak gas: 250 - 350 °C (minyak diesel/pemanas)
minyak pelincir: > 300 °C (minyak mesin)
sisanya: tar, aspal, bahan bakar residu
Beberapa saintis menyatakan bahwa minyak adalah zat abiotik, yang berarti zat ini tidak berasal dari fosil tetapi berasal dari zat anorganik yang dihasilkan secara alami dalam perut bumi. Namun, pandangan ini diragukan dalam lingkungan ilmiah.


Negara penghasil petroleum terbesar

(Disusun berdasar jumlah produksi tahun 2003)

Arab Saudi (OPEC)
Amerika Syarikat
Rusia
Iran (OPEC)
Mexico
China
Norway
Kanada
Amiriah Arab Bersatu (OPEC)
Venezuela (OPEC)
United Kingdom
Kuwait (OPEC)
Nigeria (OPEC)
(Disusun berdasar jumlah yang dieksport di 2003):

Arab Saudi (OPEC)
Rusia
Norway
Iran (OPEC)
Amiriah Arab Bersatu (OPEC)
Venezuela (OPEC)
Kuwait (OPEC)
Nigeria (OPEC)
Mexico
Algeria (OPEC)
Libya (OPEC)
Catatan: AS mengkonsumsi seluruh minyak yang diproduksinya.

Sumber: Statistika Energi dari pemerintah AS

;;