Sylar Pictures, Images and Photos

Search

Jenayah Dalam Islam

MENCURI DAN HUKUMANNYA

http://www.geocitie s.com/kmbedu/ mencuri.html

DEFINASI SARIQAH


Ulamak mendefinisikan sariqah sebagai “mengambil harta benda orang lain dengan secara sembunyi daripada barang yang tidak diberi amanah kepadanya atau mengambil harta benda orang lain yang cukup nisab oleh orang yang telah baligh dan berakal dengan cara senyap-senyap daripada simpanannya dengan tidak ada kesamaran.

Dengan keterangan di atas dapatlah difahami bahawa rukun bagi kesalahan mencuri yang telah dipersetujui oleh ulamak feqah ialah :

1. Kecurian itu dilakukan ke atas harta kepunyaan orang lain.
2. Kejadian curi berlaku dengan senyap-senyap.
3. Kecurian itu berlaku ke atas harta benda yang tidak diamanahkan kepada pencuri itu.
4. Dilakukan dengan adanya niat sengaja.

Mankala perkara-perkara yang dipertikaikan oleh ulamak ialah :

1. Mencuri daripada simpanan
2. Nisab barang yang dicuri
3. Jenis-jenis barang yang dicuri

Rukun-Rukun Mencuri Yang Dipersetujui Oleh Ulamak

1. Harta benda yang dicuri itu kepunyaan orang lain. Yang dikatakan mencuri yang sebenar mestilah barang yang dicuri itu hak milik orang, bukan hak miliknya. Ini bermakna kalau pencuri itu sama-sama mempunyai hak milik barang curian maka ulamak, mempunyai pendapat yang berbeza-beza.

Abu Hanifah dan Al-Syafie berpendapat jika pencuri itu mencuri barang yang sama-sama dimiliki maka pencuri tidak dikenakan potong tangan kerana tuan pemilik barang itu tidak dianggap mencuri barangnya sendiri.

Berasaskan kepada pendapat ini maka pencuri yang mengambil barang di bawah ini tidak dihukum potong tangan :

i. Jika mencuri dari baitul-mal kerana tiap-tiap seorang mempunyai milik dari baitul-mal. Diriwayatkan bahawa pegawai Saidina Umar telah menulis surat kepadanya bertanyakan orang yang mencuri sesuatu dari baitul-mal, maka Umar menjawab jangan potong tanganya, kerana tiap-tiap seorang mempunyai hak daripadanya.

ii. Seorang yang memberi pinjaman itu mencuri dari orang yang berhutang kepadanya bersamaan dengan nilai hartanya yang ada pada orang yang berhutang.

iii. Seorang mencuri dari barang yang diberi pinjam kepada seorang kerana seolah-olah dia mengambil dari kepunyaan sendiri. Oleh kerana pengambilan harta antara keluarga juga ada kesamaran tentang hak milik maka eloklah kita bincangkan perkara-perkara :

a. Pencuri di antara suami dengan isteri.
Ada tiga pendapat tentang kecurian di antara suami dengan isteri:

i. Boleh dihukum potong tangan kepada pencuri kerana walaupun ada hubungan nikah tetapi nikah satu perjanjian untuk memberi nafkah dan tidak menggugur hukuman potong tangan ke atas pencuri (suami mencuri harta isteri dan sebaliknya)

ii. Kedua belah pihak tidak boleh dikenakan hukuman potong tangan kerana si isteri berhak mendapat nafkah dari suaminya, manakala suami pula berhak untuk menahan isterinya di rumah dan menegah isterinya daripada membelanjakan hartanya.

iii. Suami mencuri harta isteri dihukum potong kerana suami tidak ada hak dalam harta isterinya, manakala isteri yang mencuri harta suaminya tidak boleh dihukum potong kerana isteri mempunyai hak milik harta suaminya dengan memberi nafkah.

b. Mencuri di antara anak dengan ibu bapa.
Begitu juga ulamak mempunyai pendapat yang berbeza-beza mengenai kecurian yang berlaku di antara bapa mencuri harta anak-anaknya dengan anak mencuri harta bapanya.
Pendapat mazhab Hanifiah dan Syafie : Jika anak mencuri harta bapa hingga ke atas (datuk dan seterusnya) ataupun bapa mencuri harta anaknya hingga ke bawah (cucu dan seterusnya) tidak dikenakan hukuman potong tangan kerana adanya kesamaraan tentang hak milik di antara kedua-dua pihak, berdasarkan sabda Rasulullah

Maksudnya : Kamu dan harta kamu adalah bagi bapa kamu.

Pendapat Imam Malik juga begitu bahawa bapa mencuri harta anaknya tidak dihukum potong tangan kerana hadith di atas.
Tetapi jika anak mencuri harta orang tuanya menurut pendapat ini dipotong tangannya kerana si anak tidak ada hak dalam harta benda bapanya.

2. Mengambil dengan cara senyap-senyap. Yang dikatakan curi sehingga pencuri itu dikenakan hukuman potong tangan mestilah mengambil barang itu dengan cara senyap-senyap atau sembunyi bukan dengan cara terang seperti merampas, menipu, memaksa dan sebagainya. Ini semua tidak dianggap mencuri. Sebab itu orang-orang yang mengambil harta benda dengan terang itu tidak boleh dihukum potong tangan mereka kerana harta yang diambil itu boleh dipulangkan dengan pertolongan pemerintah. Lagipun pesalah-pesalah itu dapat diketahui oleh tuan punya harta benda, sedang pencuri tidak dapat dikesan dan apabila dapat dikesan maka patut dihukum potong tangan.

3. Jumhur ulamak mengatakan bahawa orang yang telah diberi amanah untuk menjaga harta benda itu tiba-tiba mencuri barang itu maka ia tidak boleh dikenakan hukuman kerana orang itu telah diberi amanah untuk menjaganya. Ia tidak boleh dikenakan hukuman had tetapi dikenakan hukum takzir disebabkan bukan kerana kesalahan mencuri bahkan kerana kesalaha pecah amanah.

4. Niat sengaja mencuri. Apa yang dimaksudkan dengan adanya niat mencuri itu ialah apabila seorang yang mencuri barang itu mengetahui barang yang diambil itu adalah diharamkan dan juga tujuan diambil barang itu untuk dimilikinya tanpa pengetahuan dan kerelaan tuan punya barang itu. Oleh itu jika seorang itu mengambil barang orang yang disangkanya sudah dibuang oleh tuannya atau disangkanya barang itu diharuskan kepadanya maka yang mengambil barang itu tidak di hukum had. Begitu juga seorang yang mengambil suatu barang kepunyaan orang lain bukan untuk tujuan dimiliki tetapi hanya untuk diperiksa atau digunakan dan selepas itu dipulangkan semula, semuanya itu tidak dikira sebagai mencuri.

Selain dari itu pencuri yang boleh dikenakan hukuman potong tangan itu mestilah seorang yang mukallaf iaitu baligh, berakal dan melakukan jenayah itu dengan kehendaknya sendiri bukan dipaksa orang. Sebab itu pencuri yang gila atau kanak-kanak atau yang kurang akalnya, tidak boleh dihukum potong tangan walupun dia mengambil barang orang dengan cara senyap-senyap dengan tujuan untuk memilikinya. Begitu juga orang yang dipaksa mencuri dengan cara kekerasan seperti diugut akan dibunuh kalau tidak mencuri, ia tidak boleh dihukum had. Orang yang terpaksa mencuri kerana terlalu lapar atau dahaga sehingga ditakuti boleh membawa maut, juga tidak boleh dikenakan hukuman had, walaupun kes-kes yang di atas itu terlepas daripada hukuman had tetapi pesalah-pesalah tersebut boleh dijatuhkan hukuman ta’zir.


Rukun-Rukun Curi Yang Dipertikaikan Oleh Ulamak

1. Mengambil dari simpanannya. Ertinya tempat untuk menjaga barang yang disimpan : manakala dari segi syarak suatu tempat menjaga harta pada kebiasaannya seperti rumah, kedai, khemah atau orangnya sendiri. Ahlu’l-Zahir dan satu golongan ajli al-Hadith mengatakan bahawa hukuman potong tangan itu dikenakan ke atas orang yang mencuri barang yang cukup nisab walaupun dia mencuri barang yang tidak dari simpanannya. Manakala kebayakan ulamak bersetuju bahawa yang dikatakan curi itu mestilah barang itu dicuri dari simpanannya. Bagaimana sabda Rasulullah :

Maksudnya : Tidak wajib dipotong tangan kerana mengambil buah yang tergantung di atas pokok.

Ada dua jenis tempat simpanan :

i. Tempat yang dikhaskan untuk menyimpan harta benda seperi rumah-rumah, gedung dan peti-peti.
ii. Penjaga seperti orang yang duduk di jalan bersama-sama dengan barangnya walaupun barang-barangnya terdedah tetapi is dianggap dalam simpanan kerana ada penjaga bersama, yang mana Rasulullah telah memotong tangan pencuri kasut kepunyaan Safwan bin Umayyah yang diletakkan di bawah kepalanya sedang tidur dalam masjid. Rumah-rumah di anggap tempat simpanan mestilah ditutup semua pintu dan tingkapnya. Begitu juga pencuri itu mestilah telah keluar dari rumah barulah dianggap mencuri yang boleh dihukum potong tangan.

2. Nisab barang kecurian : Barang yang diambil itu mestilah sampai kepada nisabnya. Kalau kurang daripada nisab maka tidak boleh dihukum potong kepada pencuri mengikut pendapat jumhur ulamak. Ada ulamak yang tidak mensyaratkan nisab yang tertentu asalkan mencuri walau sedikit sekalipun boleh dikenakan hukuman had. Di antara mereka ialah al-Hassan al-Basri dan al-Khawarij yang berdasarkan kepada umumnya ayat al-Quran.

Maksudnya : Dan pencuri lelaki dan perempuan maka potonglah tangan mereka.


Ada dua pendapat mengenai kadar nisab :

i. Pendapat mazhab Syafie dan Maliki nilai barang yang dikenakan hukuman potong tangan ialah 3 dirham daripada perak atau ¼ dinar daripada emas, berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah memotong tangan pencuri majan (makanan yang boleh menguatkan untuk berperang) yang berharga 3 dirham.

ii. Mazhab Hanafi berpendapat nisab curi yang boleh dikenakan potong tangan ialah sebanyak 10 (sepuluh) dirham berasaskan kepada hadith riwayat Abdullah bin Mas’ud.

3. Barang itu mempunyai nilai dalam Islam, ertinya tidak diharamkan seperti khamar dan khinzir. Sebab itu pencuri kepada barang itu tidak boleh dihukum potong tangan. Begitu juga barang yang diharamkan




Yang Mensabitkan Kesalahan Mencuri :

i. Ikrar-pengakuan dari pesalah itu menjadi bukti kesalahannya. Ulamak berbeza-beza pendapat mengenai bilangan pengakuan. Menurut mazhab Hanafi, Shafie dan maliki Hanbali pula mengatakan pengakuan itu mestilah dibuat sebayak dua kali dalam dua majlis yang berasingan. Tetapi jika menarik balik akuannya sebelum dihukum potong maka terlepas dari hukuman, kerana dengan menarik balik akuannya menunjukkan adanya kesamaran tentang kesahihan ikrar.

ii. Disabitkan kesalahan sariqah dengan 2 orang saksi lelaki yang adil. Tidak diterima saksi perempuan dan yang fasiq. Jadi kenalah hakim bertanyakan saksi itu dari segi barang-barang yang dicuri, cara kecurian, tempatnya, masanya kecurian dan apakah hubungan antara yang kena curi dengan pencuri. Kalau saksi itu memberi keterangan yang berlainan di antara mereka maka pencuri itu tidak boleh dihukum potong tangan.

Hukuman Bagi Kesalahan Mencuri.

1. Hukuman kerana kesalahan mencuri ialah potong tangan berdasarkan kepada firman Allah :

Maksudnya : Pencuri laki-laki dan pencuri perempuan maka potonglah kedua-dua tangan mereka sebagai balasan dengan apa yang dilakukan dan sebagai siksaan dari Allah.

Anggota Yang Dipotong.

Menurut mazhab Maliki, Shafie dan satu pendapat dalam mazhab Hanbali bahawa anggota yang dipotong itu ialah kedua belah tangan dan kedua belah kaki, ertinya jika mencuri kali pertama maka hukumannya ialah potong tangan yang kanan pada kali kedua dipotong kaki kirinya. Jika mencuri lagi kali ketiga dipotong tangan kirinya dan jika mencuri lagi pada keempat kalinya maka hukuman dipotogn kaki kanan pula. Dan jika mencuri lagi, lepas kali keempat maka dipenjara sehingga mati atau sehingga bertaubat. Manakala mazhab Hanafi dan satu riwayat dari mazhab Hanbali mengatakan bahawa anggota yang dipotng ialah tangan kanan dan kaki kiri. Kalau mencuri lagi selepas dua kali itu maka tidak boleh dihukum potong bahkan dipenjara selama masa yang tertentu sampai mati atau sehingga dia bertaubat. Had yang dipotong daripada tangan ialah di pergelangan tangan dan had yang dipotong daripada kaki ialah di buku lali mengikut semua ulamak empat mazhab, kerana apa yang dinamakan tangan sekurang-kurangnya ialah tapak tangan dan jari-jari dan sekurang-kurangnya kaki ialah tapak kaki dan jari-jari kaki, begitu juga kerana mengikut apa yang diamalkan dalam zaman Rasulullah s.a.w. dengan memotong di kedua-dua sendi tersebut.
Sesudah dipotong tangan pencuri itu hendaklah dijaga supaya darahnya tidak tumpah banyak. Mengiktu Imam Shafie dan Ahmad tangan yang telah dipotong itu hendaklah digantung dileher pencuri untuk menakut-nakutkan dan menjadi iktibar, menurut Hadith yang diriwayatkan oleh Turmizi bahawa “Seorang pencuri telah dibawa mengadap Rasulullah kemudian dipotong tangannya dan digantungkan tangan itu dilehernya.

Imam Hanbali tidak menetapkan lama masa digantungkan tangan itu, manakala Imam Syafie menetapkan selama satu jam lamanya, sedangkan Imam Malik dan Hanafi tidak menyebutkan tentang digantungkan tangan itu di leher.

2. Barang yang dicuri itu dipulangkan setelah pencurinya dipotong tangan.
Ada tiga pendapat dalam masalah ini :

i. Pendapat Imam Abu Hanifah jika barang yang dicuri masih ada tidak rosak maka boleh diambil balik tetapi jika telah digunakan maka tidak kena (jaminan).

ii. Mazhab Maliki, kalau pencuri itu kaya maka kena menjamin kerosakan barang-barang yang dicuri, jika pencuri itu memang susah maka tidak payah dipulang barang-barang yang telah dicuri itu.

iii. Manakala pendapat Syafie pencuri itu dikenakan bayar gantirugi walaupun barang telah rosak.

Diriwayatkan bahawa Nabi apabila telah memotong tangan orang yang mencuri kasut Safwan telah juga memulangkan kasut itu kepada Safwan. Manakala hujah yang mengatakan tidak perlu dipulangkan barang yang dicuri jika pencurinya telah dipotong. Firman Allah : “ ” Hukum potong tangan adalah sebagai balasan kerana perbuatan mencuri jika pencuri telah dihukum, maka tidak perlulah dikembalikan curiannya kerana jika dikembalikan barang curian selepas pencuri itu dihukum seolah-olah melebihi dari hukum yang disebutkan dalam nas.

Hadith riwayat al-Nasai daripada Abdul Rahman bin ‘Auf berkata bahawa Rasulullah bersabda : (maksudnya ) Tidak didenda pencuri jika ia telah dihukum potong.

Dari keterangan yang disebutkan bolehlah dirumuskan bahawa :

1. Ulamak feqah memberi keterangan yang detail mengenai apa yang dikatakan pencuri sehingga pesalah itu boleh dihukum potong, hinggakan begitu susah hendak menghukum pesalah mencuri, kerana tujuannya untuk menjaga kesalahan tubuh badan daripada dihukum dengan tersalah dan supaya suatu kes itu diselidiki dengan teliti dan berhati-hati. Dengan penelitian itu agak sukar untuk menjatuhkan hukum potong tangan. Dengan sendiri hukum potong dikenakan hnaya pada kes-kes yang benar-benar jelas.

2. Pencuri-pencuri itu hanya boleh dihukum potong apabila semua ulamak bersepakat dalam masalah-masalah berhubung dengan apa yang dikatakan pencuri. Kalau ulamak tidak sepakat maka hukuman potong tidak boleh dijalankan, kerana tiap-tiap yang dipertikaikan itu adalah tidak muktamad, samar-samar dan perkara-perkara yang syuhabat itu boleh menggugurkan hukuman asal.

3. Tujuan dikenakan hukuman potong pada pencuri ialah untuk menakut-nakut orang dan menggerunkan. Jadi walaupun yang kena potong tangan itu sedikit tetapi sudah cukup untuk menakutkan orang daripada melakukan. Mengikut kajian bahawa negara yang mengamalkan hukuman ini terdapat pencuri-pencuri yang sedikit jika dibandingkan dengan negara-negara yang moden. Ini menunjukkan berkesannya hukuman yang keras walaupun yang terkena hukuman hanya sedikit sahaja.

Suatu kes itu dianggap kecurian apabila sempurna rukun kesalahan curi. Jika terkurung daripada rukun tersebut atau yang menjadi perselisihan ulamak maka terlepaslah pesalah itu daripada hukum potong tetapi sungguhpun demikian tidak terlepas daripada hukuman ta’zir.

0 Comments:

Post a Comment