Search
GUNUNG Tebu adalah kemuncak paling tinggi di Terengganu dengan ketinggian kira-kira 1,037 meter (m) dari paras laut. Keunikan bentuk muka buminya menarik kunjungan pendaki tempatan dan luar negara.
Pengunjung dapat menyaksikan pemandangan indah gugusan pulau zamrud Terengganu termasuk Pulau Perhentian dan Pulau Redang, daratan yang bertaburan di Laut China Selatan.
Ada berkata, puncak gunung ini paling mudah ditawan. Justeru, tidak hairanlah tanah tinggi di daerah Setiu ini semakin popular di kalangan penggemar aktiviti lasak dan pencinta alam sekitar. Selain pendaki tempatan yang kerap mengadakan kembara berkumpulan, ada beberapa agensi pelancongan menawarkan pakej ekspedisi menawan puncak Gunung Tebu.Kembara ini memakan masa antara dua atau tiga hari. Ada juga segelintir pendaki yang dahagakan pengembaraan lebih lasak, menyambung kembara mereka dengan menawan banjaran tanah tinggi lain di sekitar Besut, sebelum me namatkan ekspedisi di Kolam Air Panas La.
“Pendakian dari kaki gunung ke puncak Gunung Tebu mengambil masa dua hari satu malam. Tempoh masa yang agak singkat ini membolehkan aktiviti lasak ini diadakan secara berkumpulan terutama di hujung minggu.“Ada pula yang apabila sudah tiba di puncak Gunung Tebu, mahu ke Bukit Batu Balai dengan laluan dan pendakian lebih mencabar,” kata seorang pemandu pelancong berpenga laman.
Sebelum memulakan perjalanan, peserta akan berkumpul di kaki Gunung Tebu, iaitu di kawasan perkelahan terkenal, Lata Belatan. Peserta akan menjalankan pemeriksaan rutin dan diberikan taklimat pegawai Jabatan Perhutanan, sebelum memasuki hutan.Setiap peserta perlu memiliki pas yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan dengan bayaran RM5.Selepas Lata Belatan, destinasi pertama yang akan dituju adalah Sungai Chakah Dua, kira-kira 30 minit perjalanan dari Lata Belatan.
Dari sini, peserta akan meneruskan perjalanan ke destinasi kedua, Batu Mat Hassan - yang mendapat namanya sempena dengan orang lama yang bertapa di gua berhampiran. Dari batu ini, peserta meneruskan pendakian mereka ke Jendela Tebu, yang memakan masa sehingga 20 minit per jalanan. Lazimnya, peserta akan berehat seketika bagi me nyaksikan pemandangan indah panorama menarik kawasan sekitarnya.Dari kedudukan ini, pengunjung akan dapat melihat punca mata air semula jadi kira-kira 30m di bawah Jendela Tebu. Ada yang memanfaatkannya untuk tujuan membersihkan diri atau mengambil wuduk.
Selepas berehat seketika bagi menikmati hidangan makan tengah hari, pendakian akan menemui destinasi utamanya iaitu puncak Gunung Tebu, kemuncak di negeri pantai timur yang paling hampir dengan kawasan laut.Perjalanan diteruskan ke Batu Madrasah, kawasan lapang kira-kira 200m, selepas melewati kawasan puncak. Tempat ini dikatakan mendapat namanya kerana adanya batu besar yang seakan terhampar luas dengan permukaan yang agak rata. Menariknya, tidak berapa jauh dari kawasan ini, pengunjung akan dapat melihat kubur yang tidak bertanda dan masih menjadi misteri terutama kepada penduduk tempatan.
Ada yang menganggap kubur ini tempat bersemadi orang halus yang pernah menghuni kawasan gunung ini. Sesudah bermalam dalam khemah pada ketinggian lebih 1,000m dari aras laut, ekspedisi diteruskan dengan me nempuh Batu Terowong. Perjalanan dari puncak ke batu ini memakan masa kira-kira dua jam setengah berikutan la luannya yang agak mencabar. Di sini, peserta lazimnya akan berehat antara satu dan dua jam untuk makan tengah hari sebelum meneruskan per jalanan ke Sungai Angga yang menjadi tempat bermalam kedua sepanjang kembara lasak ini.
Keesokan paginya, awal-awal lagi, peserta meneruskan perjalanan ke Bukit Batu Balai yang lebih mencabar dan ia memakan masa sehingga enam jam.Cabaran lebih sukar apabila menghampiri puncak Bukit Batu Balai pada ketinggian 1,161m.Bagaimanapun, kepuasan jelas terpancar di wajah setiap peserta apabila menjejakkan kaki ke puncak gunung ini. Penamat sempurna kepada ekspedisi penuh mencabar ini adalah “berkubang” di Kolam Air Panas La, sebelum bertolak pulang dengan van atau lori, milik agensi pelancongan.