Search
WAH, nampaknya sekarang kau dah pandai berdakwah, Milah," Pak Dupa meluahkan rasa tidak senangnya. Dia berasa kerjanya dalam bangsal usang itu terganggu dengan kehadiran isterinya. Namun tangannya tekun memahat sebuah batu nisan yang separuh siap.
"Bukan berdakwah, bang. Saya cuma mengingatkan. Abang dah tua. Saya tengok sejak kahwin sampai beranak cucu, abang tak henti-henti bekerja. Dari pagi santak senja. Orang lain bekerja juga, tapi taklah...."
"Engkau tak patut cakap begitu, Milah. Kau pun tahu, dengan hasil titik peluh mengukir batu-batu nisan inilah aku dapat membesarkan anak-anak kita. Dapat tanggung makan-minum dan persekolahan mereka. Sampai ada yang berjaya jadi doktor, jurutera dan kerani," potong Pak Dupa sambil membuat sedikit ketukan pada bahagian tepi batu nisan di tangannya.
"Pasal anak-anak kita dah berjayalah, maka saya tak suka abang bekerja teruk-teruk macam dulu. Tiap-tiap bulan anak-anak kita hulur wang. Pemberian mereka lebih daripada cukup untuk buat belanja kita. Abang dah tak ada alasan lagi nak bekerja keras sampai tak hirau soal hidup bermasyarakat, soal amal ibadat dan soal kesihatan diri abang sendiri," Mak Milah tidak mahu mengalah.
Dia berasa lega selepas dapat mencurahkan isi hatinya yang ditanggung sekian lama. "Huh," dengus Pak Dupa sambil menarik wajah mencuka. Dia tidak kisah walau apa pun yang dicakapkan isterinya. Tetapi dia cukup tersinggung apabila soal amal ibadatnya diungkit-ungkit.
Memang dia akui, dalam soal amal ibadat dia amat kurang. Hendak dikatakan hatinya tertutup daripada mengingati Tuhan, tidak juga. Kerjaya mengukir batu-batu nisan itu cukup menginsafkannya mengenai kehidupan dan kematian yang boleh terjadi bila-bila masa. Cuma tempahan terlalu banyak menyebabkan dirinya terpaksa bekerja keras dan berasakan hari siangnya terlalu pendek.
"Saya bukan nak menyakitkan hati abang. Abang usah salah faham pula. Saya tengok abang kerja tak henti-henti kecuali waktu makan dan minum saja. Sejak saya kahwin dengan abang, tak pernah pun saya lihat solat lima waktu abang penuh."
"Kau tak nampakkah aku sembahyang Subuh tiap-tiap hari?" Pak Dupa bersuara tinggi sambil meletakkan batu nisan di tangannya ke tepi dinding. Dia menentang wajah isterinya tepat-tepat.
Mak Milah tidak gentar sedikit pun dengan tikaman mata suaminya yang tajam itu. Dia sudah bertekad untuk membetulkan jadual kehidupan Pak Dupa yang sentiasa sibuk dengan kerja di bangsal usang itu.
"Tentang sembahyang Subuh tu saya tak nafikanlah. Memang saya nampak. Dan saya bersyukur kerana abang tak tinggal sembahyang Subuh, walaupun waktu Subuhlah kita paling liat nak bangun. Tapi yang saya risaukan sembahyang yang lain-lain tu. Lepas Subuh, belum celik matahari abang dah ke bangsal ini mengukir batu nisan. Abang kerja tak henti-henti kecuali waktu makan tengah hari. Tak sempat pun sembahyang Zuhur, abang masuk semula ke bangsal dan bekerja hingga santak Maghrib. Asar lepas, Maghrib pun dah penghujung. Malam, awal-awal lagi belum pecah mata belalang, abang dah berdengkur keletihan. Isyak pun hanyut. Hei, abang tak tahukah bahawa agama kita mewajibkan penganutnya bersembahyang lima waktu sehari, bukan sembahyang Subuh saja? Mak Milah melepaskan rasa geram yang sekian lama bertakung di tasik sukmanya.
"Huh," dengus Pak Dupa sekali lagi. Sepantas kilat tangannya mencapai kotak rokok dari kocek kemeja T lusuh yang dipakainya. Sekejap saja sebatang rokok sudah berapi di bibir. Dia menyedut rokok itu dalam-dalam, kemudian melepaskan asapnya dengan kasar. Asap itu bergumpal ke udara dan menerpa pada Mak Milah hingga membuat isterinya terpaksa menepis-nepis dengan tangan.
"Abang ingatlah sedikit pasal mati. Kita hidup di atas muka bumi ciptaan Allah ini hanya sementara. Tak ada sesiapa yang boleh menongkat langit. Entah esok, entah lusa, kita pejam mata. Cukupkah bekalan yang hendak kita bawa ke alam barzah?"
"Ah, bukankah aku masih muda?" Tiba-tiba Pak Dupa mendapat sekelumit idea untuk mempermainkan isterinya. Harapannya agar isterinya meradang lalu bertindak meninggalkannya.
Dia tersenyum sambil melempar jelingan pada Mak Milah.
"Hah, masih muda? Abang tahu berapa umur abang sekarang?" Sergah Mak Milah. Hatinya berbara dan tidak tergoda sedikit pun dengan gurauan Pak Dupa.
"Empat puluh lima," balas Pak Dupa spontan sambil mengukir senyuman nipis yang sengaja dibuat-buat.
"Abang dah buang tabiat agaknya. Abang ingat saya ni budak-budak boleh abang geromal. Umur abang dah enam puluh lima masuk bulan Safar ni. Matahari dah senja. Kalau ikut umur Rasulullah, abang dah kira cukup beruntung. Tuhan dah pinjamkan lima tahun."
"Tapi aku rasa baru empat puluh lima. Kalau nak kahwin dua tiga lagi pun rasa-rasanya aku berupaya," sambut Pak Dupa sambil meledakkan ketawanya hingga menyebabkan Mak Milah semakin meradang.
"Gatal!" Gerutu Mak Milah dengan nada geram.
"Kau tahu, Milah. Tua atau muda seseorang itu bukan diukur pada umur. Tapi ikut rasa. Kalau kita rasa tua, tualah diri kita. Kalau kita rasa muda, mudalah diri kita," Pak Dupa tersengih-sengih menampakkan dua batang gigi hadapannya yang masih ada.
"Baiklah, katakan umur abang baru empat puluh lima. Tapi abang mesti ingat satu perkara."
"Eh, perkara apa pula?"
"Dalam Islam, masuk umur empat puluh, sudah kena ubah perangai. Dah kena taubat atas segala dosa yang lalu. Dah kena selalu duduk atas tikar sembahyang. Dah kena istighfar dan ingat mati. Ini abang tidak, berangan nak berbini lagi pula."
"Eh , engkau ingat aku tak ingat matikah? Kau tak nampakkah dah berapa banyak batu nisan yang aku buat? Hah, sebanyak itulah aku ingat pada mati."
"Itu saya tak tahulah. Saya tak dapat baca hati abang. Tapi abang masjid pun tak jenguk. Kenduri kahwin dalam kampung ini pun abang pergi makan saja. Lepas makan, abang terus angkat punggung. Cepat-cepat balik masuk ke dalam bangsal, hadap batu nisan."
"Tempahan banyak, Milah. Engkau bukan tak tahu zaman sekarang. Nak mati mudah sangat. Nyawa manusia macam keropok. Orang sakit macam-macam. Tengah gelak ketawa pun boleh tumbang. Yang sihat dan muda belia pun boleh mati mengejut di jalan raya."
"Jadi?"
"Jadi, ramai yang datang bertumpu-tumpu tempah batu nisan. Sampai tak menang tangan aku nak siapkan."
"Kalau dah banyak sangat tempahan, abang tolak sajalah."
"His, apalah bodohnya engkau ni Milah. Kalau aku tolak, rosaklah perniagaan kita. Lagi pun, tak baik hampakan orang. Engkau tahu, amal ibadat bukan bergantung pada sembahyang puasa saja. Buang duri tengah jalan tempat orang lalu-lalang pun dapat pahala juga," Pak Dupa tidak mahu mengalah. Dia merenung tepat ke dalam mata isterinya.
"Abang tu ke mana pun tak bergerak, nak jumpa duri tengah jalan macam mana?"
"Hah, itulah engkau. Aku ingatkan tadi pandai sangat. Lagak macam ustazah. Rupanya bengap. Itu contoh saja. Maksud aku, kerja macam aku ini pun ada ganjaran pahala daripada Tuhan. Yang penting, niat kita baik dan hati kita ikhlas. Tuhan Maha Adil dan Maha Pengasih, tahu?"
"Tak guna bercakap dengan abang ni. Buang masa saya saja. Baiklah, saya tak akan ingatkan abang lagi. Terpulanglah pada abang, nak sembahyangkah, nak pergi masjidkah, nak berulit dengan batu-batu nisan abang itukah, itu abang punya fasal." Dengan nada kecewa, Mak Milah bingkas bangun mengatur langkah meninggalkan bangsal tua itu. Langkahnya kasar dan cepat membayangkan perasaannya yang masih terbakar.
Pak Dupa tersenyum puas. Dadanya lapang. Dia berasa menang dalam perdebatan itu. Dia menyandarkan tubuhnya yang kurus melidi ke dinding bangsal. Kedua-dua tangannya diletakkan di belakang kepala.
Ah, aku bukan tak ingat semua itu. Kata-kata serta nasihat isteriku memang betul. Memang tepat. Tetapi kerja mengukir ini sudah sebati dengan diriku. Aku tak dapat memisahkannya daripada hidupku.
Aku melakukannya demi minatku yang mendalam. Bukan sangat kerana wang sebagaimana waktu anak-anak masih kecil. InsyaAllah, dalam sedikit masa lagi aku akan berubah sama sekali serta menjadi seorang manusia baru - bisik hati Pak Dupa. Fikirannya melamun mengimbau pelbagai peristiwa lalu.
"Encik Fadil hendak tempah berapa banyak?" Soal Pak Dupa pada lelaki separuh umur yang mengunjunginya bulan lepas. Wajah lelaki itu berbalut kedukaan lantaran ia masih merayap dalam seluruh urat sarafnya.
"Tiga buah."
"Tiga?"
"Ya, tiga. Satu untuk Allahyarham isteri saya, satu untuk Allahyarham ibu mentua saya dan satu lagi untuk Allahyarham anak saya."
"Er..." Pak Dupa ingin mengemukakan pertanyaan selanjutnya tetapi tidak jadi.
"Mereka terkorban dalam kemalangan jalan raya, kira-kira sebulan lalu," lelaki itu menjelaskan seolah-olah membaca tanda tanya yang tersembunyi di lubuk hati pengukir batu nisan itu. Wajahnya masih muram kerana kesedihan yang masih merantai diri.
Pak Dupa tidak mengulas kata-kata lelaki itu. Begitulah sifatnya sejak dulu. Amat jarang mengulas sebab kematian ahli keluarga orang yang datang menempah batu nisan dengannya itu. Dia bimbang kalau-kalau ulasannya itu terkasar kata, tidak disenangi pelanggan. Dia tidak mahu melukai hati sesiapa.
"Er, sebenarnya..."
"Sebenarnya apa, Pak Dupa?" Encik Fadil memotong.
"Sebenarnya, saya bercadang hendak menutup perniagaan ini. Anak-anak saya tiada seorang pun yang berminat menyambung warisan. Lagi pun, semuanya dah makan gaji dengan kerajaan. Saya rasa tak mahu terima sebarang tempahan lagi," nadanya perlahan tetapi tenang.
"Tapi saya amat perlukan pertolongan Pak Dupa. Kalau Pak Dupa nak tutup pun, siapkanlah tempahan saya dulu. Kalau Pak Dupa nak kenakan harga lebih pun saya tak kisah," lelaki itu merayu penuh harapan.
"Soal bayaran tu saya tak berkira sangat Encik Fadil. Masalahnya, saya ni dah tua. Kudrat dah kurang. Mata pun dah semakin rabun. Lagi pun, saya nak tumpukan pada amal ibadat pula. Maklumlah, matahari dah senja, kata orang. Manalah tahu, esok lusa dijemput kembali oleh Yang Maha Berkuasa."
"Tolonglah Pak Dupa. Saya bukan tak mahu pergi tempah tempat lain. Tetapi di kawasan kita ini, Pak Dupa seorang saja yang menjalankan perniagaan membuat batu nisan. Jadikanlah tempah saya ini sebagai yang terakhir sebelum Pak Dupa bersara," Encik Fadil terus menghulur rayuan.
Pak Dupa menarik nafasnya dalam-dalam. Ada buih-buih simpati yang mengalir dalam dirinya. Dia membisu beberapa ketika melayani fikirannya yang bekerja keras membuat pertimbangan.
Akhirnya dia berkata: "Baiklah, saya terima tempahan Encik Fadil. Saya anggap tempahan ini sebagai yang terakhir. Lepas itu, saya ingin mengukir sebuah batu nisan bagi kegunaan diri saya sendiri. Saya tak mahu nanti seorang pengukir batu nisan tidak ada batu nisannya sendiri untuk dijadikan tanda di atas pusaranya. Saya tak mahu ia menjadi bahan ketawa orang lain pula."
Tiba-tiba azan maghrib dari surau hujung kampung mengusap kedamaian senja sekali gus memancung lamunan Pak Dupa. Dia segera bangkit. Tiba-tiba dia teringat sesuatu lalu tangannya segera mengangkat batu nisan yang separuh siap yang tersandar pada dinding.
Milah tak tahu batu nisan ini adalah ukiranku yang terakhir. Dalam beberapa hari lagi siaplah. Selepas siap nanti aku akan tutup bangsal ini. Aku ingin segera kembali mengingati Tuhan. Aku ingin membuat sebanyak-banyak amal ibadat bagi bekalan ke akhirat. Maut boleh datang bila-bila masa. Tak mungkin dapat diperlambat atau dipercepatkan walaupun sedetik... hati Pak Dupa berbisik sambil dia menyandarkan semula batu nisan itu ke dinding.
Beberapa detik kemudian, Pak Dupa melangkah ke luar. Tetapi sewaktu dia hendak menutup pintu bangsalnya, tiba-tiba dia kembali teringat sesuatu. Dia segera menjengok ke dalam. Pandangan matanya hinggap pada sebuah batu nisan separuh siap yang tersandar di dinding dan bakal menjadi tanda atas kuburnya nanti.
Hatinya berbisik sekali lagi. "Batu nisan ini yang tercantik yang pernah aku ukir dalam hidupku. Aku akan siapkan secepat mungkin."
Esoknya, fajar subuh menjilat kaki langit dengan kilauan warna yang sungguh mengasyikkan. Angin dingin berhembus perlahan-lahan dan mencuri masuk menerusi rekahan dinding kamar Pak Dupa. Kokok ayam bersahut-sahutan memecah keheningan kampung yang dibungkus kedinginan. Namun tubuh Pak Dupa tetap terbujur di atas tilamnya. Matanya tertutup rapat. Manakala di dalam bangsal buruk di belakang rumahnya, sebuah batu nisan yang separuh siap masih tersandar pada dinding.
Penulis asal tidak diketahui. Harap maklum...
Labels: Cerpen