Sylar Pictures, Images and Photos

Search



PENUNJUK perasaan di Amman, Jordan melekatkan kasut di poster Bush.

Pembuat sepatu Turki terima tempahan dari seluruh dunia

ISTANBUL: Peristiwa Presiden George W Bush dilempar kasut oleh wartawan Iraq Muntazer al-Zaidi menyebabkan beliau dipenjarakan, manakala Bush pula mendapat malu. Bagaimanapun lain pula halnya di Turki apabila kejadian yang berlaku berjaya meningkatkan industri kasut di negara itu secara mendadak.

Ramazan Baydan pemilik Syarikat Baydan Shoe yang beribu pejabat di Istanbul, kini menerima tempahan dari seluruh dunia selepas mengesahkan bahawa syarikatnya adalah pengeluar kasut kulit berwarna hitam yang dilemparkan Zaidi kepada Bush pada satu sidang akhbar minggu lalu.

Beliau terpaksa mengambil khidmat 100 orang pekerja tambahan untuk memenuhi tempahan 300,000 pasang kasut Model 271, jumlah tempahan yang empat kali ganda melebihi jualan tahunan syarikat itu, sebagai sokongan kepada tindakan wartawan berkenaan.

Baydan berkata tempahan paling besar diterima dari Amerika dan Britain, selain negara Islam yang berjiran.

"Kami menerima tempahan 120,000 pasang kasut dari Iraq, manakala sebuah syarikat di Amerika menempah 18,000 pasang. Sebuah firma Britain juga menawarkan untuk menjadi pengedar bagi kasut itu untuk jualan di Eropah," katanya.


Baydan berkata kasut model 271 itu sudah berada di pasaran sejak 1999 dan dijual dengan harga kira-kira £28 (RM196) di Turki.

Peningkatan mendadak terhadap tempahan kasut model itu juga dicatatkan di Syria, Mesir dan Iran, manakala persekutuan pembuat kasut di negara berkenaan menawarkan Zaidi dan keluarganya bekalan kasut untuk seumur hidup.

Baydan turut merancang menukar nama model kasut 271 itu kepada model 'the Bush Shoe' atau 'Bye-Bye Bush'.

"Kami sudah menjual kasut model ini sejak beberapa tahun lalu, tetapi syukurlah, dengan peristiwa 'kasut terbang' itu, kini tempahan yang diterima sungguh di luar jangkaan. Kami juga menimbang untuk menyiarkan iklan televisyen," katanya.

Zaidi masih ditahan di lokasi rahsia, manakala laporan menyatakan beliau dibelasah teruk. Beliau berdepan hukuman penjara jika sabit kesalahan, tetapi dikatakan sudah menghantar surat memohon maaf dan pengampunan.

Bharian

Boleh jadi satu industri rupanya hasil jasa pelempar kasut....

0 Comments:

Post a Comment