Search

Buah Pinggang

KEMAJUAN dalam rawatan penyakit buah pinggang peringkat akhir menyediakan pelbagai pilihan kepada pesakit untuk membantu mereka menguruskan penyakit mereka secara berkesan. Kemerosotan buah pinggang lazimnya mengambil masa yang panjang dan dalam kebanyakan kes, masalah ini hanya dikesan selepas penyakit berkenaan bertambah teruk. Penyakit buah pinggang di peringkat yang paling lanjut dirujuk sebagai penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRF); di mana fungsi buah pinggang seseorang jatuh di bawah paras tertentu atau berhenti berfungsi sepenuhnya.

Pesakit ESRF berhadapan dengan pelbagai jenis masalah kerana tubuh badan mereka mula menyimpan air yang berlebihan dan bahan buangan yang biasanya disingkirkan oleh buah pinggang. Tangan dan kaki yang membengkak merupakan simptom yang sering dilaporkan selain kesukaran bernafas dan kekurangan selera makan yang mungkin diiringi rasa mual dan muntah. Jika dibiarkan tanpa rawatan, ESRF boleh menyebabkan sawan dan koma.

Oleh itu, pesakit buah pinggang peringkat akhir perlu mendapatkan rawatan segera menerusi terapi penggantian fungsi renal. Tiga jenis rawatan alternatif telah dicipta untuk mengambil alih sebahagian fungsi penting buah pinggang bagi membolehkan pesakit terus hidup. Terapi berkenaan tidak menyembuhkan penyakit buah pinggang tetapi membantu melegakan ketidakselesaan pesakit dan membolehkan mereka hidup lebih lama.

HD atau PD

Hemodialisis (HD) ialah proses penapisan darah yang dilakukan dengan bantuan mesin. Darah yang mengandungi bahan buangan dibersihkan melalui dialyser dan dikembalikan semula ke dalam badan. Pesakit yang menjalani HD perlu mengunjungi pusat dialisis tiga kali seminggu untuk sesi rawatan yang mengambil masa antara empat hingga lima jam untuk setiap sesi. Oleh kerana jarum diperlukan untuk mengeluarkan darah dan mengembalikannya ke dalam badan, pesakit yang menjalani HD terdedah kepada jangkitan kuman dan pendarahan jika tidak mematuhi prosedur yang betul. Ada juga di kalangan pesakit yang mengalami pening kepala, mual, kekejangan kaki dan keletihan akibat rawatan tersebut.

Berbeza dengan HD, dialisis peritoneum (PD) menggunakan membran peritoneum atau selaput abdomen sebagai penapis. Satu tiub kecil dan lembut yang dikenali sebagai kateter dimasukkan menerusi pembedahan melalui dinding abdomen, ke dalam ruang peritoneum di mana dialisis berlaku. Larutan dialisis kemudian diisi ke dalam abdomen melalui kateter untuk memerangkap bahan buangan dari darah.

Selepas beberapa jam, larutan yang telah diguna dialirkan keluar dari badan. Buat masa ini, terdapat dua jenis PD iaitu dialisis peritoneum bergerak berterusan (continuous ambulatory peritoneal dialysis) atau CAPD dan dialisis peritoneum automatik (automated peritoneal dialysis) atau APD.

Pesakit CAPD perlu menjalani empat pertukaran dialisis setiap hari, dengan setiap pertukaran mengambil masa antara 20 hingga 30 minit.

APD pula dilakukan semasa pesakit tidur, dan mengambil masa antara lapan hingga 12 jam setiap malam. Walaupun CAPD dan APD masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, PD pada umumnya memberikan fleksibiliti dan kemudahan pergerakan yang lebih. Oleh kerana rawatan dilakukan di rumah, pesakit juga boleh mengatur jadual dialisis supaya bersesuaian dengan waktu kerja dan perjalanan kehidupan seharian.

Tambahan lagi, pertukaran dialisis yang kerap dan berterusan untuk mengeluarkan bahan buangan dan air yang berlebihan dari badan hampir menyerupai fungsi semula jadi buah pinggang. Namun begitu, PD merupakan rawatan invasif kerana kateter perlu dimasukkan secara kekal di dalam abdomen. Jangkitan kuman boleh berlaku jika PD dilakukan dalam persekitaran yang kurang bersih.

Pemindahan buah pinggang

Di antara pilihan rawatan yang ada, pemindahan buah pinggang adalah pilihan terbaik bagi pesakit memiliki buah pinggang sendiri. Kebebasan daripada rawatan dialisis memang satu prospek yang menarik, tetapi usaha mencari penderma yang sesuai mengambil masa yang panjang dan pesakit perlu diletakkan dalam senarai panjang pesakit yang menunggu pemindahan buah pinggang. Walaupun penderma yang sesuai ditemui, pesakit terpaksa bergantung kepada ubat sepanjang hayat untuk mengelakkan badan menolak buah pinggang yang didermakan itu.

Seperti dengan ubat-ubatan lain, penggunaan ubat secara berterusan dan berpanjangan juga boleh mengundang kesan sampingan yang tidak diingini. Perlu ditekankan bahawa tiada satu terapi yang sesuai untuk semua pesakit, sementara individu tertentu mungkin lebih sesuai untuk jenis rawatan khusus berbanding kaedah rawatan lain.

Pertimbangan yang teliti perlu dibuat untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup pesakit, tanpa menjejaskan kesihatan mereka untuk membantu mereka menguruskan penyakit dengan berkesan. Sama ada pesakit memilih hemodialisis, dialisis peritoneum atau pemindahan buah pinggang, pilihan perlu dibuat dengan maklumat yang tepat dengan mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi menentukan kaedah rawatan yang paling sesuai dan terbaik untuk mereka.

0 Comments:

Post a Comment