Search
Satu kilatan petir menghasilkan elektrik lebih besar daripada apa yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat. Pada malam hari, ketika hujan lebat, langit tiba-tiba menyala, tidak lama kemudian disusul oleh suara menggegar. Tahukah anda bagaimanakah petir yang menerangi langit itu muncul? Dan tahukah anda berapa banyak cahaya yang dipancarkannya? Atau berapa besar kepanasan yang dilepaskannya?
Satu kilatan petir adalah cahaya terang yang terbentuk sewaktu pelepasan elektrik di atmosfera ketika hujan ribut. Petir boleh berlaku ketika tegangan elektrik pada dua titik terpisah di atmosfera – dalam satu awan, atau antara awan dan permukaan tanah, atau antara dua permukaan tanah – mencapai tingkat tinggi.
Satu sambaran petir rata-rata memiliki tenaga yang boleh menyalakan sebuah lampu 100 watt selama lebih daripada tiga bulan. Satu sambaran kilat rata-rata mengandungi kekuatan elektrik sebesar 20,000 amp. Kilat bergerak dengan kecepatan 150,000 km/saat, atau separuh kecepatan cahaya, dan 100,000 kali ganda lebih cepat daripada suara.
Kilat petir terjadi dalam bentuk setidak-tidaknya dua sambaran. Pada sambaran pertama, muatan negatif (-) mengalir dari awan ke permukaan tanah. Ini bukanlah kilatan yang sangat terang. Sejumlah kilat bercabang biasanya dapat dilihat menyebar keluar dari jalur kilat utama. Ketika sambaran pertama ini mencapai permukaan tanah, sebuah muatan bertentangan terbentuk pada titik yang akan disambarnya dan arus kilat kedua yang bermuatan positif terbentuk dari dalam jalur kilat utama tersebut, terus menuju ke awan.
Dua kilat tersebut biasanya ´bertemu´ sekitar 50 meter di atas permukaan tanah. Arus pendek terbentuk di titik pertemuan antara awan dan permukaan tanah tersebut, dan hasilnya sebuah arus elektrik yang sangat kuat dan terang mengalir dari dalam jalur kilat utama itu menuju awan. Perbezaan tegangan pada aliran elektrik antara awan dan permukaan tanah ini melebihi beberapa juta volt.
Tenaga yang dilepaskan oleh satu sambaran petir lebih besar daripada yang dihasilkan oleh seluruh pusat penjana tenaga elektrik di Amerika Syarikat. Suhu pada jalur di mana petir terbentuk boleh mencapai 10,000 darjah Celcius. Suhu di dalam tanur untuk melebur besi adalah antara 1,050 dan 1,100 darjah Celcius. Panas yang dihasilkan oleh sambaran petir terkecil boleh mencapai 10 kali ganda. Panas yang luar biasa ini bererti bahawa petir boleh dengan mudah membakar dan menghancurkan seluruh unsur yang ada di muka bumi.
Perbandingan lainnya, suhu permukaan matahari tingginya 700,000 darjah Celcius. Dengan kata lain, suhu petir adalah 1/70 dari suhu permukaan matahari. Cahaya yang dikeluarkan oleh petir lebih terang daripada cahaya 10 juta ´bulb´ lampu pijar berdaya 100 watt. Sebagai perbandingan, satu kilatan petir menyinari sekelilinginya secara lebih terang dibandingkan ketika satu lampu pijar dinyalakan di setiap rumah di Istanbul. Allah s.w.t mengarahkan perhatian pada kilauan luar biasa dari petir ini di dalam al-Quran, “... Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.” (An- Nur :43)
Kilatan yang terbentuk, turun amat cepat ke bumi dengan kecepatan 96,000 km/jam. Sambaran pertama mencapai titik pertemuan atau permukaan bumi dalam waktu 20 milisaat, dan sambaran dengan arah bertentangan menuju ke awan dalam tempoh 70 mikrosaat. Secara keseluruhan petir berlangsung dalam waktu hingga setengah detik (saat). Suara guruh yang mengekorinya disebabkan oleh pemanasan mendadak dari udara di sekitar jalur petir.
Akibatnya, udara tersebut bergerak dengan kecepatan melebihi kecepatan suara, meskipun gelombang kejutannya kembali ke gelombang suara normal dalam rentang beberapa meter. Gelombang suara terbentuk mengikuti udara atmosfera dan bentuk permukaan selepasnya. Itulah alasan terjadinya guruh dan petir yang sambar-menyambar.
Ketika kita merenungi semua perihal petir ini, kita dapat memahami bahawa peristiwa atau kejadian di alam ini adalah sesuatu yang menakjubkan. Bagaimana sebuah kekuatan luar biasa seperti itu muncul dari partikel bermuatan positif dan negatif, yang tidak kelihatan oleh mata, menunjukkan bahawa petir diciptakan dengan sengaja. Lebih jauh lagi, kenyataan bahawa molekul-molekul nitrogen, yang sangat penting untuk tumbuhan, muncul daripada kekuatan ini, sekali lagi membuktikan bahawa petir diciptakan dengan kearifan yang khusus.
Allah s.w.t secara khusus menarik perhatian kita pada petir ini di dalam al-Quran. Maksud daripada surah ar-Raa´d, salah satu surah di dalam al-Quran, sesungguhnya ia adalah ´guruh.´ Di dalam ayat-ayat tentang petir, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud bahawa Dia menghadirkan petir kepada manusia sebagai sumber rasa takut dan harapan.
Allah s.w.t juga berfirman bahawa guruh yang muncul ketika petir menyambar bertasbih memuji-Nya. Allah telah menciptakan sejumlah tanda-tanda bagi kita pada petir. Kita wajib berfikir dan bersyukur bahawa guruh, yang mungkin belum pernah difikirkan oleh kebanyakan orang seteliti ini dan yang menimbulkan perasaan takut dan pengharapan dalam diri manusia, adalah sebuah sarana yang dengannya rasa takut kepada Allah s.w.t semakin bertambah dan yang dikirim oleh-Nya untuk tujuan tertentu sebagaimana yang Dia kehendaki.
Artikel asal oleh Yadim
Labels: Info